SIBU: Niat seorang warga emas membantu anak kenalannya di universiti bertukar tragedi apabila kehilangan wang tunai RM72,700.

Mangsa berusia 64 tahun ditipu kenalan Facebook warga Amerika bernama James Hanson awal September lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa dihubungi kenalan mayanya melalui WhatsApp setelah berkawan baik dalam media sosial itu.

“Mangsa memberi nombor telefon bimbit setelah suspek memujuknya membantu anaknya yang sedang belajar di negara ini,” katanya dihubungi sebentar tadi.

Katanya, suspek telah meminta bantuan mangsa membantu membuat tukaran wang USD ke RM pada 30 Oktober berjumlah USD10,000.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.