KUCHING: Kerajaan Sarawak mengambil pendekatan menaikkan premium balak daripada 50 sen kepada RM50 untuk menyuntik lebih banyak dana ke Yayasan Sarawak. Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, peningkatan premium itu akan memberi pendapatan kepada Yayasan Sarawak, sekali gus memberi lebih banyak peluang kepada anaknegeri ini mendapat pinjaman atau biasiswa.

“Malah kita merancang untuk membina lima sekolah antarabangsa di peringkat menengah yang dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak. “Pembinaan sekolah antarabangsa ini membolehkan bakat anak nelayan dan petani diasah sama seperti golongan elit yang menghantar anak ke sekolah antarabangsa swasta dengan yuran amat mahal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Anugerah Khas Ketua Menteri Yayasan Sarawak di Bangunan Dun baharu di sini, malam semalam.

Abang Johari yang juga Pengerusi Yayasan Sarawak menambah, yuran anak-anak nelayan dan petani di sekolah antarabangsa kelak akan ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak meskipun agak mahal.

“Ini adalah usaha kita untuk mengukuhkan pendidikan dalam kalangan anak-anak Sarawak walaupun tanggungjawab terbabit di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. “Bagi mencapai tujuan itu, terdapat dua tempat untuk anak Sasrawak melanjutkan pengajian di Sekolah Ekonomi London dan dua lagi di Universiti Cambridge,” jelasnya.

Katanya lagi, buat masa ini, Kerajaan Sarawak sedang berbincang dengan Universiti Stamford di Amerika untuk mendapatkan tempat bagi anak-anak negeri ini menuntut di sana. “Saya mencadangkan agar satu tempat diberi kepada bumiputera manakala satu lagi untuk bukan bumiputera. “Jadi, tidak mustahil munculnya Bills Gates Sarawak pada masa akan datang,” ujarnya.