KUCHING: Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yakin rakyat Sarawak tidak akan menyerahkan Bumi Kenyalang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk mentadbir sempena Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) akan datang.

Katanya, PH akan menggunakan strategi sama semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berlandaskan pembohongan, penipuan dan fitnah pada PRN12 ini.

“Yang lebih buruk lagi, PH akan mengawal hasil mahsul Sarawak seperti minyak dan gas, hutan dan sumber asli, tanah dan hasil laut.

“Orang Sarawak akan putih mata dan tengok sahaja,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Melihat apa yang terjadi kepada negara sekarang, Wan Junaidi berkata ekonomi merudum, hutang melonjak, harga tukaran ringgit dengan dolar Amerika Syarikat (AS) semakin menurun, harga barang-barang melambung naik, harga minyak tidak turun termasuk pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) masih di bayar.

“PH hanya cekap tabur janji, tetapi tak cekap mentadbir negara. Janganlah nak datang Sarawak dan menghancurkan Sarawak, rakyat Sarawak tidak rela.

“Kami dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan seluruh rakyat Sarawak akan mempertahankan Sarawak,” tegasnya.

Beliau juga berharap rakyat Sarawak tidak lagi terpedaya dengan strategi janji manis yang ditawarkan PH.

Katanya penipuan PH jelas terbukti menerusi klip-klip video yang bertaburan dengan janji-janji kosong seperti 20 peratus hasil Petronas, 50 peratus cukai pungutan dari Sarawak, minyak RM1.50 seliter, harga barang turun dan sebagainya.