KUCHING: Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang berlangsung di Putrajaya hari ini berjalan lancar, kata Menteri Muda (Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

“Mesyuarat berjalan lancar tetapi saya akan mengeluarkan kenyataan esok,” katanya yang dihubungi, hari ini.

Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad, turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Selain Hasidah, turut hadir bagi pihak kerajaan Sarawak ialah Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Gerawat Gala dan Peguam Besar Negeri Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid.

Abang Johari (kanan) beramah mesra dengan Menteri undang-undang, Liew Vui Keong (tengah) dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kiri) sempena mesyuarat Jawatankuasa Pemandu MA63 di Putrajaya, hari ini.