KUCHING: Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad sudah menjangkakan majoriti akan beralih ke pihak lawan pada pilihan raya kecil (PRK) di Tanjung Piai.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menerima keputusan yang dibuat oleh rakyat Tanjung Piai.

“Jangkaan saya majoriti kekalahan ini tidak lebih dari 2,000 undi. Namun keputusan rasmi majoriti kekalahan ialah sebanyak 15,086 undi.

“Satu bedah siasat yang terperinci, serius dan jujur di semua peringkat parti akan dibuat bagi mengenal pasti apakah punca sebenar kekalahan pilihanraya kecil ini,” katanya pada satu kenyataan pada hari ini.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada mereka yang bekerja keras sepanjang PRK di Tanjung Piai.

Sabtu lalu, calon Barisan Nasional, Datuk Seri Wee Jeck Seng berjaya memenangi Parlimen kerusi Tanjung Piai dengan mendapat 25,466 undi dalam persaingan enam penjuru pada PRK tersebut.

Beliau menewaskan calon daripada PH, Karmaine Sardini yang memperoleh 10,380 undi manakala calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Wendy Subramaniam mendapat 1,707 undi.

Calon Berjasa, Badrulhisham Abdul Aziz meraih 850 dan dua calon bebas, Ang Chuan Lock serta Faridah Aryani Abd Ghaffar masing-masing memperoleh 380 undi dan 32 undi.