KUCHING: Kerajaan Sarawak mahu Forum Usahawan Muda Asean 2019 (AYEF-19) yang diadakan selama dua hari di bandar raya ini berjaya menemui penyelesaian pelbagai masalah yang dihadapi usahawan belia.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, beliau percaya forum terbabit yang disertai 200 belia usahawan dari negara rantau Asean bertemakan ‘Menghubungkan Belia Asean Kearah Inovasi Sosial’ adalah landasan terbaik bagi tujuan tersebut.

“Saya meramalkan program ini akan menjadi landasan baik untuk berbincang dan berkongsi idea lebih inovatif serta membina persefahaman bersama dalam kalangan kita. “Tidak lupa juga forum ini akan menjadi landasan terbaik mencari penyelesaian terhadap masalah belia masa kini terutamanya masalah keusahawanan membabitkan era internet seperti e-dagang, aplikasi perniagaan dan banyak lagi,” katanya merasmikan AYEF-19 di sini, semalam.

Teks ucapannya dibaca oleh Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak Dr Zaidi Razak. Ketua Menteri berkata, forum itu juga menyediakan peluang kepada delegasi untuk belajar pengetahuan baharu dalam isu atau topik utama Asean, perniagaan sosial dan memahami peranan sebagai belia ke arah pembangunan serantau.

“Saya percaya belia memainkan peranan penting ke arah mencapai matlamat Asean khususnya visi ditetapkan pada 2020. Program ini menyasarkan pendedahan komuniti Sarawak terhadap perbincangam Asean,” katanya.

Katanya selain itu, AYEF-19 mendedahkan fikiran dan idea pemimpin, pembina komuniti, usahawan, inovator sosial masa depan sekitar Asean yang akan memberi inspirasi kepada belia. Forum itu juga menyaksikan acara pertukaran dokumen empat MoU berkaitan belia Asean.

MoU terbabit antara Persatuan Keusahawanan Sarawak dengan Himpunan Pengusaha Muda Indonesia Kalimantan Barat, Serapi Bayu Sdn Bhd (Malaysia) dengan Unimas, Scape Co Ltd (Singapura) dengan Koperasi Belia Inovatif Sarawak dan Iana Corporation Sdn Bhd (Malaysia) dengan Rosfaniaga Services Sdn Bhd (Brunei).