KUASA rakyat telah dibuktikan pada PRK Tanjung Piai, semalam apabila calon Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memenangi PRK itu mengalahkan calon PH Karmaine Sardini dengan undi majoriti 15,086 undi, selepas memperoleh 25,466 undi berbanding Karmaine yang mendapat 10,380 undi.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan penyandangnya Datuk Dr. Md Farid Md Rafik, 42, dari PPBM yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia di Hospital Pontian akibat serangan jantung pada September lalu.

PRK Tanjung Piai adalah PRK kelapan diadakan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan yang pertama diadakan di DUN Sungai Kandis pada 4 Ogos 2018; Dun Balakong dan DUN Seri Setia (8 September 2018); Parlimen Port Dickson (13 Oktober 2018); Dun Semenyih (2 Mac 2019); Dun Rantau (14 April 2019) dan Parlimen Sandakan (11 Mei 2019).

Ironinya, kemenangan Jeck Seng itu isyarat jelas membuktikan penolakan rakyat terhadap pemerintahan PH dengan kekalahan yang begitu ketara. Ia juga memberi isyarat penolakan rakyat terhadap politik kepalsuan PH khususnya DAP dan menandakan DAP sudah tiba ke penghujung jalan.

Kemenangan BN itu turut menunjukkan bahawa PH perlu kembali semula ke papan lakaran, untuk menilai dasar, pendekatan dan prestasi parti dan kerajaan, yang telah menyumbang kepada rasa tidak puas hati rakyat.

Kekalahan calon PH pada PRK Tanjung Piai merupakan isyarat bahawa rakyat sudah muak dengan janji-janji manis PH seperti mana dalam manifesto PRU-14 lalu.

Ibarat bunga yang semakin layu, adakah mungkin berlaku PRU-15 dalam tempoh terdekat ini rentetan daripada kekalahan PH? Namun, semua keputusan di tangan Tun Mahathir Mohamad untuk menentukannya.

Jika melihat kepada tsunami politik semalam, jelas menunjukkan rakyat sudah mula berpaling semula kepada BN ekoran sudah muak dengan segala janji palsu PH. Hanya rakyat sendiri yang mampu menilai serta membuat perhitungan pihak mana yang dapat menjaga kebajikan dan benar-benar ikhlas memperjuangkan nasib rakyat.

Buatlah penilaian dengan bijak agar tidak menyesal di kemudian hari.