MIRI: Sebanyak 2,381 anjing disuntik vaksin antirabies dalam Operasi Vaksinasi Rabies Bahagian Miri termasuk Daerah Subis sejak Januari hingga 16 November lalu.

Ketua Perkhidmatan Veterinar Bahagian Miri Dr Sylmie Al-Harir berkata, suntikan vaksin antirabies kini giat diadakan di beberapa tempat sekitar Miri dan Subis selama sembilan hari bermula 11 hingga 19 November ini.

Menurutnya, sambutan dan penerimaan penduduk setempat amat memberangsangkan. “Kami puas hati melihat reaksi orang awam yang memberikan kerjasama positif serta menerima baik aktiviti suntikan vaksin ini. “Ada antara mereka meninggalkan notis dan nombor telefon di luar pagar rumah kerana tidak mahu ketinggalan atau terlepas peluang,” katanya kepada media di Taman RBA, Lutong di sini, semalam.

Dr Sylmie berkata, dalam operasi itu, 12 kumpulan melibatkan 36 petugas dikerah ke kawasan perumahan yang disasar untuk aktiviti suntikan vaksin anjing.

Beliau menasihati orang awam yang terlepas peluang itu agar mendapatkan suntikan antirabies di Pejabat Veterinar berhampiran dari jam 8.30 pagi hingga 11.30 pagi pada setiap hari waktu bekerja atau di mana-mana klinik veterinar swasta.

Sementara itu, Menteri Muda Pelancongan Datuk Sebastian Ting yang turut turun padang melihat operasi itu berkata, walaupun jumlah kes rabies di Miri terkawal, namun langkah berjaga-jaga masih perlu diambil.

“Kita tidak mahu kes rabies makin menular. Lebih baik kalau kita membasminya dengan pengambilan langkah pencegahan di peringkat awal,” ujarnya.