SARIKEI: Sebanyak 19,000 pelajar layak menerima bantuan pakaian seragam sekolah Yayasan Sarawak tahun ini. Jurucakap Yayasan Sarawak Watson Peter Chunggat berkata, setiap pelajar yang layak mendapat RM200.

Pemberian itu katanya, bertujuan memudahkan penerima membeli pakaian seragam sekolah masing-masing. “Di Bahagian Sarikei sahaja 1,250 pelajar layak menerima bantuan itu dengan 250 daripadanya pelajar dari Daerah Pakan dan Julau.

“Bantuan pakaian seragam sekolah ini dimulakan Yayasan Sarawak semenjak tahun 2000 dengan peruntukan berjumlah RM2 juta setahun. “Peruntukan itu bagimanapun dinaikkan kepada RM4 juta setahun bermula 2017. “Justeru, sejak 18 tahun lepas hampir 400,000 pelajar sekolah di negeri ini menerima bantuan tersebut,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan Pakaian Seragam Yayasan Sarawak di Dewan Masyarakat Daerah Pakan, kelmarin.

Peter yang mewakili Pengarah Yayasan Sarawak berkata, baucar bantuan yang diserahkan pada majlis itu sah laku sehingga 31 Disember ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati ibu bapa agar membeli keperluan anak mereka lebih awal sebagai persiapan sebelum sesi persekolahan tahun depan.

“Saya harap sumbangan ini dapat mengurangkan bebanan kewangan ibu bapa selain meningkatkan semangat pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh,” katanya. Majlis perasmian disempurnakan oleh Adun Pakan Tan Sri William Mawan Ikom.