KUCHING: Fasa pertama Projek Perumahan Darul Hana yang dibiayai Kerajaan Sarawak dengan kos RM200 juta di Petra Jaya sudah siap 70 peratus dan akan siap sepenuhnya pada suku ke-tiga.

Menteri Muda Bekalan Elektrik Luar Bandar yang juga Adun Pantai Damai, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, setelah siap fasa pertama, 564 keluarga di Kampung Panglima Seman Lama, Kampung Semarang dan Kampung Pulo Ulu di kawasan Seberang Hilir akan dipindahkan.

“Fasa pertama projek ini sedang dilaksanakan mengikut jadual. Selepas itu penduduk di tiga kampung terbabit boleh mula berpindah ke rumah baharu mereka,” katanya selepas mengadakan lawatan ke projek perumahan terbabit bersama-sama pelbagai jabatan dan agensi di sini, semalam.

Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, penduduk di tiga kampung itu dipindahkan pada fasa pertama kerana kampung mereka berada di tengah-tengah kawasan Darul Hana yang berbentuk segi tiga. Kesemuanya terdapat 13 buah kampung di sini.

“Rumah projek ini tidak dijual kepada orang awam. Ia khas untuk masyarakat Seberang Hilir. Kita juga tidak akan menetapkan harga rumah kepada penduduk kampung, tetapi rumah ini akan ditukarkan tapak dan rumah asal mereka di kampung,” katanya.

Katanya, dalam projek perumahan tersebut, terdapat 14 jenis rumah, termasuk banglo, teres setingkat, teres dua tingkat dan rumah terbakar serta mengekalkan reka bentuk Melayu seperti pada atapnya, ada beranda dan ruang luas bagi pertemuan masyarakat serta sekurang-kurangnya tiga bilik tidur.

“Projek juga mengikut skop pembinaan perumahan terbaharu iaitu lengkap utiliti, sama ada pendawaian elektrik atau paip air di bawah tanah,” ujarnya.

Selain itu, jaringan internet jalur lebar juga dipasang terus ke rumah dan semua unit rumah tidak mempunyai tangki septik kerana sisa buangan akan disalurkan terus ke loji buangan berhampiran,  selain ada parit air ribut yang boleh mengawal banjir.

Selain membina rumah, Kerajaan Sarawak juga akan menanggung kos membina bangunan baharu Sekolah Kebangsaan (SK) Pulo yang mempunyai sekitar 800 murid di Kampung Semarang bagi memindahkan sekolah itu ke kawasan Darul Hana.

“Kesemua ini akan ditanggung Kerajaan Sarawak, walaupun sekolah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Sarawak juga akan membina sebuah muzium warisan berhampiran Masjid Darul Hana yang dijadualkan bermula hujung tahun hadapan atau 2021,” katanya.

Katanya Kerajaan Sarawak menyasarkan 2,640 keluarga atau sekitar 4,000 penduduk di 13 kampung di Seberang Hilir akan dipindahkan ke projek perumahan dalam tempoh 10 atau 13 tahun lagi melalui projek fasa kedua, keempat, dan kelima.