SARATOK: Kerajaan Sarawak akan membina lima sekolah bertaraf antarabangsa sebagai inisiatif bagi meningkatkan mutu pendidikan dalam kalangan generasi muda negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, usaha itu merupakan salah satu strategi kerajaan untuk melahirkan lebih ramai cendiakiawan Sarawak pada masa depan.

Sekolah itu katanya, bakal menyediakan pelbagai kemudahan terkini termasuk asrama kepada pelajaran.

“Sebagai usaha permulaan, kita akan membina lima buah terlebih dahulu dengan sukatan matapelajaran antarabangsa seperti di Universiti Cambridge.

“Anak nelayan dan petani yang mempunyai kelayakan tinggi akan ditempatkan ditempatkan di sekolah ini. Segala yurannya ditanggung oleh Kerajaan Sarawak,” katanya pada Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun ke 100 SK Abang Leman Kabong, semalam.

Ketibaan Abang Jo disambut meriah oleh masyarakat dan warga pendidik di SK Abang Leman Kabong

Beliau menjelaskan, selain menyediakan suasana pembelajaran yang lebih kondusif sekolah berkenaan juga bakal meningkatkan daya saing pelajar untuk meraih keputusan cemerlang sebelum layak melanjutkan pengajian ke universiti antarabangsa.

Katanya, antara universiti yang menyediakan tempat untuk pelajar tersebut ialah Universiti Cambridge, London School Of Economic.

“Kita masih berbincang dengan Universiti
Stanford Amerika Syarikat. Jika ada persetujuan, universiti ini akan menyediakan satu lagi tempat untuk anak- anak kita pada tahun depan.

“Peluang keemasan ini kita beri kepada bumiputera dan bukan bumiputera. Jika layak, kita akan hantar melalui Yayasan Sarawak,” ujarnya.

Pada majlis yang sama Abang Jo turut mengumumkan pembinaan sebuah bangunan khas Makmal Komputer untuk SK Abang Leman.

Ketua Menteri menyempurnakan majlis perasmian Sambutan Ulang Tahun Ke 100 SK Abang Leman Kabong.

Beliau berkata, bangunan yang bernilai kira-kira RM250,000 itu akan dibina tahun depan, menempatkan ruang pembelajaran komputer khas untuk meningkatkan penguasan murid sekolah itu dalam bidang IT.

“Kerajaan Sarawak komited meningkatkan prasarana sekolah daif di negeri ini. Sehubungan itu, saya menggesa golongan muda supaya memanfaatkan peluang ini dengan sebaik mungkin,” tambahnya.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato Sri Michael Manyin Jawong.

Hadir sama ADUN N.38 Kelaka, Abdul Wahab Aziz, ADUN N.40 Kabong, Chee Kadir, Residen Betong, Friday Black, Pegawai Pendidikan Daerah, Anis Madeli, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Sambutan, Ulin Tabor.