KEJOHANAN Golf Remaja Antarabangsa Sarawak 2019 dijadikan sebagai platform 241 pemain muda dari 23 negara untuk mendapatkan mata ranking dunia.

Pemain-pemain muda yang berusia 21 tahun ke bawah itu, telah mengesahkan penyertaan bagi merebut Piala Ketua Menteri Sarawak edisi ke-21 itu yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 November ini di Kelab Golf  Sarawak (KGS), Petra Jaya.

Presiden Persatuan Golf Sarawak (SGA), Hoan Kee Hock berkata Malaysia akan menghantar pemain teramai iaitu 108 orang, dengan Sarawak menyenaraikan semua pemain Sukma.

Manakala, negara luar seperti Filipina, Indonesia dan Thailand juga akan menghantar skuad Sukan Sea, sebagai persiapan menghadapi kejohanan sebenar di Filipina pada Disember nanti.

Negara lain yang turut serta adalah Australia, Brunei, China, Indonesia, Jepun, Jordan, Nepal, Taiwan, Perancis, Guam, Hong Kong, India, New Zealand, Norway, Filipina, Qatar, Singapura, Korea Selatan, Sweden, Tahiti, Thailand dan Emiriah Arab Bersatu.

“Kejohanan ini sangat penting kerana pemain termasuk pemain Sukma kita yang berlatih di luar negara hendak mendapatkan mata rangking dunia bagi membolehkan mereka bertanding di kejohanan dunia yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan trofi yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, di sini semalam. Hadir sama Menteri Muda Belia dan Sukan Datuk Snowdan Lawan dan Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting.

Menurut Kee Hock, daripada 241 pemain yang mendaftar, seramai 156 adalah lelaki dan 85 perempuan. Sementara itu, beliau berkata kejohanan ini turut mendapat pengiktirafan dari Konfederasi Golf Asia Pasifik (APGC) yang mempunyai 48 ahli.