KOTA SAMARAHAN: Seorang jurugambar dan jurusolek sambilan ditemui meninggal dunia di dalam biliknya, di Flat Desa Ilmu di sini.

Nazrul Hisham Sain, 36, dari Selangor ditemui tidak sedarkan diri oleh rakan sekerjanya pada lebih kurang jam 11 pagi semalam, sebelum menghubungi polis bagi memaklumkan kejadian.

Menurut Ketua Polis Daerah Samarahan Deputi Superintendan Lee Chong Chern, rakan sekerja si mati bersama beberapa orang rakan telah pergi ke rumahnya kerana tidak hadir bekerja sejak Selasa lalu.

“Rakan si mati cuba memanggil beberapa kali di luar rumah dan cuba menghubungi telefon bimbitnya tetapi tidak dijawab.

“Setelah itu, dia telah berjumpa dengan pihak pengurusan rumah sewa tersebut untuk mencari jalan alternatif lain iaitu dengan cara memanjat masuk melalui pintu koridor rumah sewa si mati memandangkan rumah sewa tersebut berada di tingkat satu sahaja.

“Setelah berjaya naik, rakan si mati telah membuka pintu koridor bersama dengan rakan lain dan kemudian menemui si mati dalam keadaan bertiarap tanpa pakaian di bilik tidur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Chong Chern menambah berdasarkan temu bual ke atas rakan-rakan sekerjanya, si mati yang masih bujang tinggal berseorangan di rumah sewa tersebut.

Katanya siasatan di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian si mati.

“Tidak ada sebarang kesan pergelutan mahu pun senjata dijumpai di dalam bilik tidur dan dalam rumah sewa si mati, pintu utama berkunci.

“Tiada kesan cedera atau pendarahan dilihat pada badan si mati,” katanya sambil menambah kematian si mati telah disahkan oleh pembantu perubatan dari Klinik Kesihatan Kota Samarahan.

Beliau menambah mayat si mati telah dihantar ke Forensik Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.