MUKAH: Lima tadika Komuniti Penan bakal dibuka di Baram tahun depan sebagai satu usaha untuk memberikan pendidikan berkualiti kepada anak-anak di kawasan pedalaman. Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, lima bangunan tadika tersebut meliputi kawasan Long Leng, Long Kawa, Long Kerangan, Long Jenalong, dan Ba’ Selulong.

Menurutnya, projek tersebut ialah hasil kerjasama tanggungjawab sosial korporat (CSR) kementerian bersama-sama Petronas. Jelasnya, kesemua tadika tersebut akan diambil alih dan ditadbir urus oleh Sedidik Sdn Bhd dan ia berupaya memberi peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.

“Menjadi misi dan visi kita pada 2030 agar semua anak Sarawak mendapat akses kepada pendidikan awal kanak-kanak. Berdasarkan sumber Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak tahun 2019, sebanyak 40,015 daripada jumlah 41,078 kanak-kanak tahun satu sekolah kerajaan dan swasta mengikuti pendidikan awal kanakkanak.

Ini menunjukkan pencapaian terbaik 97.41 peratus anak kita untuk mendapatkan pendidikan awal kanak-kanak,” katanya berucap dalam majlis Konvokesyen Sedidik Zon Mukah ke-28.

Beliau berkata, jika dilihat dari pandangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ia merupakan pencapaian terbaik usaha mencapai 100 peratus angka kanakkanak yang mendapat pendidikan awal pada tahun 2020.

Katanya, pembangunan dan pendidikan awal kanak-kanak merupakan satu fasa yang amat penting dalam membentuk modal insan yang berkualiti.

“Kita di kementerian sangat komited dalam melaksanakan dan memperkasa pembangunan awal kanak-kanak yang bersifat menyeluruh dan holistik dari segala aspek,” jelasnya.

Katanya, Geran Tahunan Khas RM5,000 kepada institusi pendidikan awal kanak-kanak pada tahun hadapan juga akan diteruskan kepada semua institusi yang berdaftar tidak kira kerajaan mahupun swasta.

Sejumlah RM16 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Sarawak bagi membantu profesion perguruan mahupun institusi pendidikan, termasuk aspek keselamatan bangunan,” jelasnya.

Seramai 60 anak Sedidik dari Zon Mukah diberikan penghargaan dan diraikan kerana berjaya menamatkan pengajian Sedidik Zon Mukah di kawasan masingmasing.