PENDIDIKAN prasekolah amat penting bagi menyuburkan potensi kanakkanak dalam semua aspek, termasuk menguasai kemahiran asas sebelum melangkah masuk ke alam persekolahan sebenar.

Institusi pendidikan awal ini mampu membentuk sikap positif dan menyemai budaya ilmu sejak awal usia selain menarik minat kanak-kanak terhadap dunia pendidikan.

Prasekolah bukan sekadar mendidik anak-anak bangsa membaca dan mengira tetapi juga membentuk keperibadian mereka untuk menjadi modal insan yang cemerlang.

Prasekolah menjadikan alam persekolahan lebih menyeronokkan dan berperanan penting sebagai salah satu teras utama bagi melahirkan modal insan berkualiti tinggi.

Pendidikan peringkat awal ini juga berperanan sebagai acuan untuk memastikan anakanak membesar di landasan yang betul. Malah, ia merupakan aspek terpenting dalam kehidupan manusia selain menjadi salah satu agenda penting dalam pembangunan negara.

Pendidikan sempurna dapat melahirkan generasi baharu yang mampu mengubah nasib keluarga dan seterusnya, keluar daripada belenggu kemunduran dan kemiskinan.

Sudah pasti, kesungguhan dan keupayaan anak-anak kita menguasai ilmu pengetahuan berupaya mengangkat martabat diri dan bangsa.

Sejajar dengan matlamat tersebut, usaha pemerkasaan untuk membangunkan generasi muda ini dalam segenap aspek wajar diteruskan. Penekanan secara holistik ke atas pembangunan kanak-kanak merangkumi elemen seperti nilai murni, keselamatan, sosial, kesihatan, kebajikan termasuk pendidikan kanak-kanak.

Pendidikan merupakan aspek yang sangat penting, yang memberi kesan positif terhadap pembangunan generasi yang bakal menjadi pewaris kepimpinan negara.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Kerajaan Sarawak wajar mendapat pujian kerana melaksanakan pelbagai usaha termasuk kursus dan seminar yang merangkumi aspek keselamatan dan pekerjaan di institusi pendidikan awal kanak-kanak (IPAKK).

Usaha itu ditambah nilai dengan Bengkel Model Asuhan Kanak-kanak Berkeperluan Khas (AKBK), Seminar Kokurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK), Bengkel Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (Steam), Program Bersih Awal Bersih Akhir (BaBa) serta Randau Perkembangan Awal Kanakkanak.

Pada tahun ini, seramai 255 pendidik IPAKK menghadiri bengkel program BaBa yang diadakan di Mukah, Kuching dan Miri. Bagi memperluaskan pelaksanaannya, program tersebut menggunakan satu modul seragam yang telah dibangunkan oleh Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak.

Tahukah anda, program BaBa mampu memberi impak besar kerana ia salah satu inisiatif penting untuk menyemai nilai murni dan membentuk karakter, akhlak serta sahsiah anak-anak seawal usia.

Pada masa yang sama, kerajaan turut menggilap potensi dan bakat generasi muda ini melalui penganjuran-Showcase Sarawak Kids Got Talent (SKGT), merangkumi pengucapan awam dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Iban, Mandarin, pertandingan tarian, melukis, nyanyian solo dan bakat istimewa.

Kerajaan Sarawak melaksanakan pendekatan proaktif bagi memastikan anak-anak Sarawak tidak terpinggir dalam arus pendidikan. Misi kementerian adalah untuk memastikan seratus peratus akses kepada pendidikan awal kanak-kanak di pedalaman menjelang 2030.

Difahamkan, pada 2019 sahaja, seramai 40,015 (97.41 peratus) daripada 41, 078 kanak-kanak dalam Tahun Satu di sekolah kerajaan dan swasta mengikuti pendidikan awal.

Secara keseluruhannya, pembangunan kanak-kanak di Sarawak dilakukan secara berterusan dengan melaksanakan pelbagai aktiviti dan program yang memenuhi aspirasi dan citarasa golongan tersebut.

Realitinya, Sarawak merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai majlis khas pembangunan awal kanak-kanak iaitu Majlis Pembangunan Awal Kanak-kanak Sarawak (MPAKS) yang melibatkan penyertaan pelbagai agensi termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).