SERIAN: Seorang penunggang motosikal maut selepas dilanggar sebuah pacuan empat roda, dalam kemalangan yang dilaporkan sekitar jam 9.30 pagi di Jalan Kuching-Sri Aman semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata mangsa, 47, yang parah di kaki dan kepala, disahkan meninggal dunia semasa sedang dirawat di zon merah Hospital Umum Sarawak (HUS).

Menurutnya, kejadian berlaku apabila mangsa yang berasal dari Kampung Antayan Kropok di sini, tidak berhenti semasa keluar dari persimpangan jalan di bahagian kanan jalan menuju ke Serian.

“Mangsa dipercayai tidak memakai topi keledar,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Bagaimanapun, Alexson berkata pemandu Toyota Vigo terbabit tidak mengalami seberang kecederaan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.