MUKAH: Pemberian Endownment Funds Sarawak (EFS) yang dimulakan tahun ini bakal diteruskan pada tahun hadapan.

Perkara ini ditegaskan oleh Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah semasa Konvokesyen Sedidik Zon Mukah ke-28 di sini. Katanya sehingga 31 Oktober tahun ini, seramai 21,283 daripada 28,152 anak Sarawak mendaftar untuk mendapatkan EFS.

“Langkah terus memberi EFS ini merupakan salah satu manifestasi keprihatinan Kerajaan Sarawak dalam memberikan sokongan bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan anak-anak negeri ini. “Bayi yang baru lahir layak mendapat EFS ini setelah mereka berjaya didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negeri Sarawak.

“Bagi menggalakkan pendaftaran itu, kita mengadakan 26 jerayawara di 11 bahagian di Sarawak,” ujarnya. Dalam pada itu katanya, Kerajaan Sarawak juga meluluskan RM18 juta bagi Insentif Ibu Bersalin dalam bentuk baucar kepada semua ibu yang bersalin di Sarawak.

“Kita mengumumkan RM450 untuk ibu yang baru bersalin bagi membantu mereka membeli barangan persalinan bersalin atau digunakan untuk membeli barangan keperluan bayi. “Kini kita juga merancang dan dalam usaha bekerjasama dengan pusat beli-belah yang terpilih bagi mendapatkan persetujuan bagi memastikan baucar itu dapat digunakan,” jelasnya.

Fatimah menambah, peruntukan sebanyak RM20 juta juga diluluskan oleh Kerajaan Sarawak agar semua pusat taska milik Sedidik seluruh Sarawak dibaik pulih menjelang 2030.

Bagi memperkasa pendidikan awal kanak-kanak berkeperluan khas pula, katanya, Kerajaan Sarawak membangunakn One Stop Early Intervention Centre (OSEIC) di MetroCity Matang Kuching.

“Pusat ini membantu memberikan perkhidmatan diagnosis, intervensi dan rehabilitasi berfokus kepada kanak-kanak autism, Sindrom down dan masalah pembelajaran yang berumur tujuh tahun ke bawah,” ujarnya.

Selain itu katanya, Kerajaan Sarawak menggalakkan dasar pintu terbuka dipraktikkan di setiap institusi pendidikan awal kanakkanak. “Setiap anak tanpa mengira berkeperluan khas atau sebaliknya perlu mendapat pendidikan yang berkualiti dan terbaik, sebagaimana yang dilakukan di Sedidik ini,” tegasnya.