PUSA: Strategi kuno memburuk-burukkan wakil rakyat, memutar belit fakta dan fitnah disifatkan berpisah tiada dengan pemimpin Pas, waima parti tersebut kononnya berteraskan agama.

Ketua Penerangan PBB Beting Maro Ramzi Rasit menyelar dakwaan Ketua Penerangan Pas Sarawak Zharudin Narudin yang menyatakan ‘Beting Maro tiada dalam agenda Sarawak First’ di portal Harakah Daily, Rabu lalu.

Katanya, tuduhan Zharudin itu tidak berasas sama sekali melainkan satu fitnah dan putar belit.

“Saya ingin mempersoal siapa rujukan mereka? Kalau tanya ahli Pas, sudah tentu mereka hanya melihat kekurangan dan kelemahan parti lawan. Tetapi cuba dapatkan maklumat daripada sumber yang betul.

“Saya berani katakan pemimpin Pas ketika ini tidak pernah menunjukkan muka kalau tiada pilihan raya dan boleh diumpamakan seperti rancangan realiti televisyen, ada lagu ada nyanyi. Ada pilihan raya ada mari,” katanya semalam.