KUCHING: Terdapat akuan bersumpah yang dibuat untuk menjatuhkan Baru Bian sebagai Pengerusi PKR Sarawak berlegar dalam kalangan ketua-ketua cabang di negeri ini dan ia melibatkan jumlah duit yang sangat besar.

Dalam sidang media di Kuala Lumpur semalam, Baru mendedahkan, habuan tersebut ditawarkan kepada ketua-ketua cabang itu jika mereka bersetuju dengan gerakan itu.

“Saya percaya terdapat pihak yang memulakan dan mengumpul sokongan daripada ketua-ketua cabang di Sarawak sambil memperkecilkan kemampuan saya, agar saya digantikan dengan pengerusi negeri yang baharu.

“Dan kami juga percaya bahawa konspirasi untuk menjatuhkan saya sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak telah dirancang untuk dilaksanakan pada Konvensyen Keadilan Sarawak nanti,” katanya.

Baru berkata, perkara ini sangat melanggar prinsip demokrasi parti. “Kami dengan tegas dan keras menolak gerakan tersebut,” katanya lagi.

Baru yang juga Menteri Kerja Raya memberitahu, 19 daripada 30 ketua cabang PKR Sarawak berada di belakangnya dan mahu beliau meneruskan pimpinan sebagai Pengerusi MPN Sarawak.

Menjelas lanjut perkara itu, Baru berkata, pihaknya amat kecewa apabila kepimpinan parti enggan mengiktiraf perjanjian sebelum ini bahawa Keadilan Sarawak dan Keadilan Sabah berhak menggunakan autonomi dalam urusan di peringkat negeri.

“Konvensyen Keadilan terletak di bawah bidang kuasa negeri tetapi keputusan terkini dibuat oleh ibu pejabat PKR untuk meneruskan konvensyen, sama sekali mengabaikan kehendak majoriti yang mewakili MPN Sarawak dan sekali gus melanggar perjanjian tersebut.

“Kami dengan ini menggesa pimpinan pusat untuk bersatupadu demi parti dan autonomi Keadilan Sarawak dalam urusan yang membabitkan Sarawak sendiri,” katanya. Terdahulu, menjelas mengenai pembatalan Konvensyen Keadilan Sarawak yang sepatutnya diadakan pada 23 November ini, Baru berkata ia adalah keputusan majoriti MPN Sarawak. “Pendirian kami tidak akan berganjak kerana ia merupakan majoriti mutlak. Daripada 42 ahli, 32 ahli telah mencapai kata sepakat untuk membatalkan konvensyen tersebut.

“Sebanyak 32 ahli MPN Sarawak yang membuat keputusan ini terdiri daripada empat ahli parlimen, tiga Adun, 17 ketua cabang, lima timbalan ketua cabang dan sembilan pimpinan parti PKR Sarawak. “Hanya 11 ketua cabang dan dua ketua AMK yang tidak sependapat dengan pihak majoriti manakala seorang lagi mengambil pendirian berkecuali. “Perlu dinyatakan juga bahawa daripada 11 ketua cabang yang menentang pembatalan konvensyen tersebut, tiga timbalan mereka menyatakan persetujuan dengan MPN Sarawak,” jelasnya.