KUCHING: Kompleks baharu Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak(PPNS) yang akan menjadi ikon kepada pertubuhan berkenaan, dijangka mula dibina Mac tahun dan siap dalam tempoh 18 bulan.

Menteri Muda Pertanian Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata tender bagi projek bernilai RM20 juta berkenaan dijangka dikeluarkan selewat-lewatnya Februari tahun hadapan.

“Pada tahun 2017 Ketua Menteri Datuk Abang Johari Tun Openg dah setuju beri peruntukan kepada PPNS untuk bina bangunan baharu mereka, kenapa dia lambat dibuat adalah kerana kita punyai masalah dalam kenal pasti tapak, lepas itu kita lihat reka bentuk supaya ia sesuai dengan fungsi PPNS.

“Sekarang semua sudah selesai kita dah setuju dengan pilihan tapak di Samarahan, rekabentuk juga dah ada” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PPNS kali ke-34, di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Dr Abdul Rahman berkata kompleks baharu itu selain akan menjadi ikon kepada pertubuhan berkenaan, ia juga akan menjadi pusat pertemuan antara pengeluar dan pembeli dan membolehkan para peladang mempamerkan produk keluaran mereka.

“Harapan saya, pertubuhan ini dapat memfokuskan aktiviti pertanian yang lebih berdaya saing di masa hadapan dan dapat menyumbang ke arah merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk mencapai sasaran menjadi Pengeksport Makanan Bersih pada 2030,” katanya. – Bernama