KUCHING: Agak memalukan apabila Petronas tidak mahu tunduk kepada undang-undang di negara sendiri dengan membayar lima peratus cukai jualan terhadap produk petroleum kepada Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (gambar) berkata, syarikat antarabangsa seperti Shell, Murphy dan PT Pertaminia membayar cukai jualan lima peratus produk petroleum yang digali di Sarawak kecuali Petronas.

“Bikin malu…bikin malu, bikin malu! Syarikat antarabangsa sudah membayar cukai jualan lima peratus terhadap produk petroleum, namun Petronas sahaja yang masih belum berbuat demikian.

“Apabila menggali petroleum di Brazil, Petronas tertakluk kepada undang-undang negara berkenaan,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai cadangan Petronas melalui kerajaan persekutuan yang ingin membuat pembayaran ehsan (ex gratia payment) dengan syarat Kerajaan Sarawak mengugurkan cukai jualan dan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958.

Beliau ditemui pada majlis Bicara Hutan sempena Ulang Tahun Ke-100 Jabatan Hutan Sarawak di sini semalam. Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua melontarkan persoalan kepada Petronas mengapa begitu ligat untuk membayar cukai jualan lima peratus kepada Sarawak meskipun dikenakan mengikut undang-undang Perlembagaan.

“Petronas perlu mematuhi undang-undang Kerajaan Sarawak kerana hasil minyak yang diperolehi digali di negeri ini. “Mereka mesti mengikut undang-undang Sarawak, pendirian kita sangat jelas,” tegasnya. Terdahulu, Suara Sarawak melaporkan Petronas melalui Kerajaan Persekutuan menawarkan tiga peratus pembayaran ehsan (ex gratia payment) dengan syarat Kerajaan Sarawak menggugurkan cukai jualan dan OMI 1958.

Menteri Muda Undangundang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, sebagai tindak balas kepada tawaran itu, Ketua Menteri telah menulis surat kepada wakil Kerajaan Persekutuan untuk menyatakan pendiriannya.

Katanya, antara kandungan surat itu ialah Kerajaan Sarawak tetap akan mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleum yang dieksport dari Sarawak.

Malah, ujarnya, Kerajaan Negeri juga menuntut agar cukai jualan ke atas LNG, minyak mentah dan kondensat yang dieksport dari Sarawak di bayar tahun ini. Hasidah berkata demikian ketika menjadi panel semasa Konvensyen GPS di BCCK Sabtu lalu.