SIBU: Pelan pembangunan masa depan yang lebih komprehensif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri di Sibu Jaya mampu melonjakkan potensi kawasan itu sebagai hab pengeluar makanan di wilayah tengah Sarawak.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak kini giat menaiktaraf prasarana terutama jalan raya bagi memudahkan pengeluaran hasil pertanian dari kawasan tengah seperti Sarikei, Bintangor dan Julau.

Malah katanya, kawasan berkenaan akan dibangunkan sebagai taman agro sebagai salah satu pendekatan untuk melonjak pendapatan penduduk melalui projek pertanian moden.

“Jalan raya yang baik selain kedudukannya yang strategik dan tidak jauh daripada Lapangan Terbang Sibu sesuai untuk dijadikan hab pengeluaran hasil pertanian sebelum dieksport ke luar negara,” katanya pada majlis Perasmian Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim Sibu Jaya, di sini, hari ini (semalam).

Beliau berkata, langkah Sarawak membuka Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Di Singapura (STATOS), merupakan satu permulaan yang baik ke arah meningkatkan hubungan ekonomi kedua-dua pihak.

Abang Johari melihat replika Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim Sibu Jaya sambil diperhatikan tetamu yang lain.

Malah katanya, Sarawak optimis meningkatkan kerjasama strategik dengan Singapurna dalam pelbagai aspek termasuk hubungan perdagangan, pelaburan dan pelancongan.

“Antara bidang yang berpotensi ialah industri makanan, dengan kedua-dua pihak saling melengkapi antara satu sama lain.

Sarawak memiliki sumber produk makanan yang banyak yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penduduk di negara itu.

Antaranya, terung asam dan ikan tilapia,” jelasnya.

Abang Johari berkata, kewujudan kawasan perumahan moden di Sibu Jaya mewujudkan suasana harmoni sekaligus mencerminkan kepelbagaian perpaduan dalam kalangan pelbagai kaum.