BINTULU: Morris Hii menjuarai Kejohanan Muaythai Piala TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak “Ultimate Muaythai International 2019” setelah menumpaskan lawannya, Sofi Syazwani menerusi pukulan “KO” pada pusingan kedua perlawanan.

Gelaran diraih Morris dari Kelab D40 Muaythai Miri itu melayakkannya membawa pulang hadiah piala pusingan yang disampaikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.

Sementara Sofi dari Kelab Muaythai Kenyalang menerima medal kejohanan.

Dalam pada itu, Maliki Singa Hitam yang mewakili menewaskan lawannya, Suphan Eagle Muaythai dari Thailand pada pertarungan Pro Jemputan Antarabangsa kategori 58 kilogram(kg).

Kategori Jemputan Antarabangsa 44kg pula menyaksikan petinju dari Kelab Muaythai SS Fighter Sarawak, Johan Ghazali menjuarai kategori tersebut setelah menewaskan petinju dari Kelab Muaythai Selendang Kuning, Putra Abdullah.

Tun Pehin Sri Taib, Karim dan Haji Jumaat mengabadikan gambar bersama para pemenang.

Kejuaraan tersebut melayakkan Maliki dan Johan membawa pulang hadiah piala Sementara Suphan dan Putra, masing-masing menerima pingat.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan serta Belia dan Sukan Sarawak Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah dan Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak Haji Jumaat Haji Ibarahim hadir sama.

Lebih 50 pertarungan melibatkan petinju dalam dan luar negara mengambil bahagian berlangsung sepanjang kejohanan yang berlangsung bermula dari 22 hingga 24 November.

Saingan kali ini turut disertai peninju ternama dari Thailand, Indonesia, Norway termasuk Semenanjung Malaysia yang akan bertarung dalam beberapa kategori.

Kejohanan anjuran Persatuan Muaythai Negeri Sarawak dengan kerjasama Dewan Usahawan Perniagaan dan Industri Cina Bintulu ini berobjektif mempromosi sukan muaythai di kalangan masyarakat terutama generasi muda.

Kejohanan ini antara aktiviti sihat yang menekankan disiplin tinggi dan berfaedah untuk semua peserta.