KABONG: Lebih 4,000 penduduk hadir menyaksikan ceramah agama bersama tokoh pendakwah, Datuk Mohd Kazim Elias di di Dewan Terbuka Town Square Kabong baru-baru ini.

Program bicara ilmu yang bertajuk Restu Ibu Bapa, Rahmat Tuhan Berpanjangan
itu dianjurkan sempena sambutan Ulang Tahun Ke-100 Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman yang ditubuhkan pada tahun 1919.

Selain itu penganjurannya juga sebahagian inisiatif penganjur menyediakan platform bagi seisi keluarga menimba ilmu bersama.

Majlis bertambah seri dengan kehadiran ADUN Kabong, Mohd. Chee Kadir dan Pegawai Daerah Kabong, Rashdan Hazemi.

Sehubungan itu, Pengerusi Pengelola Program, Olen Tabor berkata, program yang julung-jujung kalinya diadakan itu bertujuan membudayakan ilmu dalam kalangan masyarakat.

“Saya bersyukur atas sambutan luar biasa penduduk sehingga menyebabkan lokasi ceramah penuh sesak dan padat dengan orang ramai.

“Sesi ceramah selama hampir dua jam ini berlangsung dalam suasana santai tetapi padat dengan pelbagai pengisian ilmu yang cukup menarik,” katanya kepada Suara Sarawak.

Kazim atau lebih dikenali Ustaz Kazim Elias dilahirkan di Kampung Paya, Batu Kurau, daerah Selama, Perak pada 28 November 1972.

Beliau merupakan anak ketujuh dari sembilan beradik kepada pasangan Elias Che Mat dan Nazirah Ismail iaitu seorang guru agama di sekolah di Batu Kurau.

Sehubungan itu orang ramai yang ditemui melahirkan harapan agar ceramah serupa dapat diteruskan pada masa akan datang.

Menurut mereka, program kerohanian itu mengimbangi aktiviti berbentuk hiburan yang kerap diadakan sebelum ini.