KUCHING: Berkecimpung dalam perniagaan secara kecil-kecilan menjual kerepek, Iskandar Mohd Ali kini mempunyai sebuah kilang mini di Balingian, Mukah.

Bapa berbangsa Melanau Muslim ini berkata, kini beliau secara aktif melebarkan sayap perniagaan kepada pembuatan keropok ikan, membuat umai, tumpik dan katering pula.

“Dahulu saya cuma berniaga kecil-kecilan sebab Balingan sebuah daerah yang kecil di antara Bintulu dan Mukah.

“Namun atas bantuan Jabatan Pertanian, agensi terlibat dan mereka yang lain, saya kini saya kini mampu memiliki kilang mini di Balingian,” katanya.

Iskandar ketika ditemui Suara Sarawak di Agrofest Sarawak di Stadium Negeri Sarawak semalam menambah, kini kilang mini miliknya mampu mengeluarkan 300 sehingga 500 paket keropok dan kerepek sehari.

“Dahulu saya menghadapi kesukaran untuk memasarkan produk di samping sukar mendapatkan bahan mentah.

“Pisang, ubi kayu dan ikan kadang-kadang tidak cukup selain kesukaran mendapatkan minyak masak dan tepung terutamanya musim perayaan.

“Oleh itu, saya mencari alternatif menanam sendiri ubi kayu dan pisang untuk memenuhi kehendak pasaran,” katanya yang optimis ingin mengembangkan kilang mininya menjadi besar.

Jelas Iskandar dalam sebulan beliau dan keluarga mampu mempunyai pendapatan kasar sekitar RM18,000.

Berkenaan dengan Agrofest Sarawak kali ini, Iskandar berkata dia menjual umai dan tumpik makanan tradisi masyarakat Melanau dari Mukah.

“Terdapat dua jenis umai iaitu umai campur dan umai cecah. “Masyarakat Melanau di Mukah mencari ikan dan hasil laut sebagai punca pendapatan sebab itu umai sangat popular disana,” katanya.

Beliau menjelaskan, sejak Jumaat yang lalu, beliau tidak cukup tangan apabila 20 kontena umai buatannya terjual.

“Saya berharap perniagaan ini terus maju sehingga ke luar pasaran Sarawak,” ujarnya.