KUCHING: Penggunaan ikan empurau dalam sistem akuaponik mampu menyumbang kepada hasil tanaman yang lebih berkhasiat dan bermutu tinggi. Pakar Runding Akuaponik Christieu Weng Thean berkata, khasiat dimiliki ikan termahal itu antara jenis ikan air tawar yang menjadikannya sesuai digunakan dalam sistem tanaman kitar semula berkenaan.

“Nutrisi yang dimiliki ikan empurau memberikan kesuburan dan hasil dalam jangka masa yang cepat terhadap tanaman sayur-sayuran.

“Ini kerana hasil tanaman mampu diraih dua kali sebulan sekiranya sistem akuaponik yang dilaksanakan dijaga dengan baik,” jelasnya ketika ditemui di gerai pameran Borneo Empurau Farm and Resort Sdn Bhd semalam.

Christieu menambah, selain empurau, ikan air tawar yang lain termasuk tilapia dan patin juga dapat digunakan sebagai akuakultur dalam sistem akuaponik tersebut.

Jelasnya, 90 peratus jenis tanaman sayur-sayuran termasuk seperti cili, kacang lendir dan sayur sawi dapat digunakan melalui sistem ini.

“Sistem akuaponik merupakan kaedah gabungan akuakultur dan tanaman sayur-sayuran dengan ikan menyediakan sumber makanan organik untuk tumbuhan sementara tanaman secara semula jadi menyaring air kepada ikan belaan.

“Ia merupakan sistem yang tidak berunsurkan bahan kimia,  malah mampu menyihatkan tanaman berikutan pemprosesan baja dibuat secara semula jadi. “Setakat ini kita fokuskan tanaman strawberi dan sayur sawi di samping menjadikan ikan empurau sebagai ternakan utama syarikat,” katanya.

Sementara itu, Pemilik Syarikat Borneo Empurau Farm and Resort Datuk Yong Fook  Heng berkata, sistem akuaponik juga mampu memberi pendapatan tinggi berikutan proses tersebut melibatkan tanaman sayur-sayuran dan penternakan ikan air tawar.

Jelas beliau, selain menerapkan sistem tanaman secara semula jadi itu, beliau turut komited dalam penternakan ikan empurau bagi memastikan habitat ikan tersebut tidak pupus. Terdahulu, syarikatnya mengalami kerugian sekitar RM27,000 setelah sembilan ekor ikan empurau yang dijadikan sebagai pameran didapati hilang di gerai pameran berkenaan.