BINTULU: Seramai 100 usahawan tempatan dari bahagian Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu menyertai Program STEP 100 tajaan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan (MINTRED) dengan kerjasama RS Centre Cube Sdn. Bhd.

Program STEPS 100 merupakan satu program keusahawan yang dirangka khas bagi membantu usahawan Sarawak yang bergiat aktif dalam perniagaan online.

Di bawah program ini seramai 100 orang usahawan telah diberi latihan asas perniagaan yang meliputi pengurusan akaun, cukai, harta intelek, sumber manusia dan pengurusan serta pemasaran produk atau perkhidmatan secara online .

Kesemua usahawan yang menyertai program ini mendapat tajaan MINTRED untuk pendaftaran perniagaan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) selain menerima sijil pendaftaran untuk perniagaan atas talian (Online Business Registration).

Program STEP telah dilaksanakan di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu dengan kerjasama RS Centre Cube Sdn Bhd, sebuah syarikat swasta yang berpengalaman dalam pendaftaran perniagaan, perkongsian dan syarikat.

Kesemua 100 usahawan terbabit akan dipantau dari segi pengurusan akaun, jualan, perkembangan perniagaan, ciptaan peluang pekerjaan dan pembangunan produk.

Dalam majlis ringkas penutupan program tersebut, semalam, Pegawai Tadbir Khas MINTRED, Kemeri Haji Affandi menyampaikan hasrat Kerajaan Negeri agar usahawan-usahawan yang telah menerima bantuan atau tajaan dapat memanfaatkan peluang itu dengan sebaik mungkin.

Beliau turut berharap mereka terus berkembang maju dan pada masa yang sama akan dapat membantu memantapkan lagi kedudukan ekonomi negeri Sarawak melalui perniagaan mereka.