KUALA LUMPUR: Satu tinjauan pendapat yang dilakukan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Lembah Klang baru-baru ini mendapati 78.3 peratus ibu bapa membenarkan anak memiliki gajet.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata situasi itu amat membimbangkan kerana sikap masyarakat kini dilihat begitu terikat dengan gajet dan peranti digital untuk memperoleh maklumat serta berkomunikasi, tanpa mengendahkan dunia fizikal di sekeliling mereka.

“Ibu bapa zaman sekarang gemar ‘mendidik’ anak mereka untuk menggunakan gajet sejak kecil sehingga mereka begitu leka bermain.

“Memang tidak dapat dinafikan penggunaan gajet mempunyai banyak faedah terutama dalam urusan pembelajaran, komunikasi dan jual beli namun teknologi juga memberi kesan negatif terutamanya kepada kanak-kanak jika disalahgunakan dan tanpa pengawasan orang tua,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Yeoh berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Azizah Mohd Dun (PH-Beaufort) yang ingin tahu mengenai situasi isu kelekaan penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak pada era ini dan tindakan kementerian dalam menanganinya.

Selain itu, Yeoh berkata laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2017 oleh Institut Kajian Umum (IKU) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati 50.1 peratus pelajar sekolah menengah (13-17 tahun) menghabiskan masa lebih tiga jam untuk menonton televisyen dan bermain permainan di komputer.

Tinjauan itu turut mendapati 85.6 peratus remaja adalah pengguna internet dan 29 peratus daripadanya mengalami ketagihan internet.

“Peralatan untuk mereka melayari internet adalah telefon pintar (94 peratus), komputer (62 peratus) dan peranti tablet (31 peratus),” katanya.

Susulan itu, Yeoh berkata beberapa inisiatif diambil kementerian dalam menangani masalah itu termasuk menganjurkan majlis ilmu kekeluargaan sempena sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2018 iaitu Forum Keibubapaan di Alam Siber dan bicara Santai Keluarga oleh LPPKN.

LPPKN turut menganjurkan Forum ‘Digital Parenting and Child Online Protection’ dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada 20 Jun lepas yang membincangkan topik berkaitan keselamatan kanak-kanak di alam siber dan jenayah seksual kanak-kanak.