KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang melaksanakan kajian terperinci bagi melihat kebolehlaksanaan pendidikan percuma di universiti awam, politeknik dan kolej komuniti di bawah KPM.

Menterinya, Dr Maszlee Malik semasa menjawab soalan lisan daripada Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen di Dewan Rakyat menyatakan, pendidikan percuma dilaksanakan di peringkat prasekolah hingga lepasan menengah bagi institusi pendidikan kerajaan di samping pemberian bantuan persekolahan.

Pada masa ini yuran khas sekolah dan bantuan tambahan persekolahan yang sebelum ini dibayar oleh ibu bapa atau penjaga murid pada awal tahun persekolahan telah dimansuhkan.

Menurutnya lagi, kos pembelajaran dan pengajaran (PdP), aktiviti sukan, kokurikulum dan program pembangunan sahsiah diri murid ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan untuk semua murid di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan berdasarkan enrolemen tahun semasa.

Ia bagaimanapun melalui lima jenis bantuan umum iaitu bantuan geran per kapita (PCG), bantuan per kapita prasekolah, bantuan makanan prasekolah, bantuan sukan sekolah dan bantuan bayaran tambahan persekolahan.

“Di peringkat pendidikan tinggi, hampir percuma iaitu pelajar hanya membayar 10 peratus sahaja daripada kos sebenar program pendidikan. “Ini bermakna setiap pelajar universiti awam secara langsung menerima 90 peratus subsidi daripada kerajaan,” ujarnya.

Menurut Maszlee lagi, yuran pendidikan tinggi tidak pernah dinaikkan walaupun kos untuk program berkaitan kian bertambah setiap tahun. “Senario ini dapat dilihat jika program yang sama ditawarkan di institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) pada harga lebih tinggi,” tegasnya.

Oleh itu katanya, kelestarian kemampuan kewangan kerajaan membiayai institusi pendidikan tinggi awam secara berterusan serta inisiatif membolehupayakan institusi untuk menjana pendapatan mereka sendiri tanpa menjejaskan kualiti pendidikan yang diberikan adalah faktor utama yang perlu diberi perhatian.

“Meskipun kajian kajian terperinci bagi melihat kebolehlaksanaan pendidikan percuma sedang dilaksanakan, KPM tetap menyediakan bantuan kewangan melalui pinjaman PTPTN kepada pelajar yang memerlukan. “Ini bagi memastikan pelajar yang berkelayakan diberi peluang menyertai pendidikan tinggi atas dasar inklusiviti,” katanya.

Maszlee turut berkata, KPM menyediakan bantuan secara bersasar terutamanya kepada golongan B40 melalui bantuan kewangan pelajar asasi IPTA, bantuan kewangan pelajar matrikulasi, bantuan kewangan kolej komuniti, bantuan kewangan orang kurang upaya, elaun bantuan sara hidup dan biasiswa.