DARO: Skuad Kampung Baru Daro terus unggul apabila membenam cabaran Kampung Itol untuk menjuarai takhta Liga Piala Pengerusi Saberkas Daro 2019.

Dalam pertarungan sengit itu Kampung Baru menang dengan jaringan 2-0 ke atas Itol.

Kampung Baru pernah merangkul kejuaraan Piala ADUN N.43 pada 2016 dan Piala Pengerusi Saberkas Daro 2018 manakala 2017 menjadi milik Kampung Badong.

Sementara itu, tempat ketiga bersama disandang Kampung Badong dan Pangtray.

Kejohanan edisi keempat itu turut menyaksikan Juharyz Sim Alias ( Kampung Baru) sebagai Penjaring Terbanyak dan Sufian Drahim (Kampung Itol), Pemain Terbaik.

Johan membawa pulang piala pusingan, piala iringan, medal dan wang tunai RM2,000 manakala, Naib Johan dan Ketiga bersama masing-masing memenangi wang tunai RM1,500 dan RM1,000 selain piala dan media.

Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi Saberkas Daro, Mohd Faizal Jamiludin berkata, kejohanan itu  sebahagian usaha penganjur untuk mengetengahkan bakat baharu dalam kalangan pemain muda tempatan.

“Pada masa yang sama, ia merupakan inisiatif Saberkas menyatukan golongan belia melalui bola sepak.

“Kejohanan ini agak unik kerana masih mengekalkan kampung sebagai nama pasukan.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad yang juga Setiausaha Agung Saberkas Sarawak.