KUCHING: Lima warga Indonesia yang terbabit kes mengedar dadah dibicara serentak di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Azahari Kamal Ramli semalam.

Kelima-lima tertuduh mengaku tidak bersalah mengedar dadah dan menghadapi pertuduhan berasingan di bawah Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori.

Kes pertama membabitkan dua lelaki yang dituduh mengedar 1.35 kilogram gram dadah jenis Methamphetamine. Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4.30 petang,15 Februari 2108 di Pos JPG Telok Melano dekat Lundu di sini.

Bagi kes kedua, dua lelaki lain didakwa mengedar dadah jenis sama seberat 1.4kilogram pada masa dan hari yang sama di tempat yang sama.

Manakala tertuduh terakhir seorang lelaki didakwa mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat 772.8 gram juga pada masa dan tempat yang sama.

Dalam perbicaraan hari pertama itu, beberapa saksi pendakwaan yang terdiri daripada beberapa anggota polis yang terlibat dalam penangkapan dan rampasan barang kes memberi keterangan masing-masing.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azahari Yusof dan Michelle Lim sementara kesemua tertuduh diwakili peguam Ranbir Singh.