KESELAMATAN makanan merupakan isu besar dalam konteks perniagaan hari ini. Ia penting kerana pengguna dan pelanggan hari ini cukup mementingkan kebersihan.

Kerana itu, penting untuk usahawan makanan dan minuman mengikuti pelbagai program dan latihan, bagi membolehkan mereka menghidangkan makanan dan minuman yang selamat kepada para pelanggan.

Atas faktor itu, beberapa agensi kerajaan kini gigih memberi tunjuk ajar kepada semua pengendali makanan agar mampu melaksanakan penyediaan, penyajian, penyimpanan, pembungkusan dan penghantaran makanan yang selamat untuk pengguna.

Malah, individu yang bertanggungjawab dalam membangun dan mengekalkan prosedur pengurusan keselamatan makanan dalam perniagaan berasaskan makanan juga perlu menerima latihan yang secukupnya bagi membolehkan mereka menjalankan tugas dengan baik.

Latihan dan program ini diharap mampu membentuk pengendali makanan yang berdedikasi serta mampu memantapkan kebersihan persekitaran premis makanan, selain membudayakan etika dan cara kerja baik serta kecekapan tadbir urus.

Selain itu, ia turut memberi peluang kepada peniaga dan orang awam untuk merujuk semula tatacara betul semasa mengendali makanan. Di Malaysia, wajib bagi setiap pengendali makanan untuk menghadiri kursus pengendalian makanan dan mendapatkan suntikan typhoid, selaras dengan Akta Makanan 1983 dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Apabila gagal mematuhi peraturan tersebut dan disabitkan kesalahan, individu tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun. Kebersihan makanan merupakan perkara penting dan tidak boleh dipandang remeh oleh semua pihak termasuk penyelia makanan, pengguna, pengusaha gerai mahupun pihak berkuasa tempatan.

Foto Bernama

Ini kerana makanan yang bersih memberikan kesan kepada tubuh badan manusia. Sijil pengendalian makanan dan suntikan merupakan satu pengiktirafan yang mampu memberikan keyakinan kepada pelanggan dan secara tidak langsung membantu meningkatkan pendapatan serta imej peniaga yang terlibat.

Selain itu, program-program ini juga merangkumi aspek prosedur pengeluaran dan penyediaan makanan secara halal, untuk memberi pengetahuan serta memotivasikan peserta ke arah pensijilan halal. Untuk rekod, sejak 1 Januari 2012, hanya logo halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendapat pengiktirafan.

Ini bermakna tidak ada lagi sijil halal swasta yang boleh diguna pakai di Malaysia dan menjadi kesalahan sekiranya ada pengusaha produk makanan mempamerkan logo halal selain dari yang dikeluarkan JAKIM. Pengiktirafan halal JAKIM memberikan nilai tambah kepada sesuatu produk makanan atau premis makanan.

Standard yang diguna pakai oleh JAKIM dalam memberi pengiktirafan diperakui seluruh dunia kerana integrasi bersama Pensijilan Amalan Perkilangan Baik (GMP) dan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP). Permohonan pensijilan halal JAKIM bagi pengusaha makanan boleh dibuat secara atas talian di laman web system MyeHalal yang disediakan Bahagian Hub Halal JAKIM.

Antara syarat permohonan halal ialah semua pekerja yang mengendalikan makanan menerima suntikan pelalian typhoid dan menghadiri kursus pengendalian makanan. Dengan ada pensijilan halal serta pelbagai sijil lain berkaitan pengendalian makanan, keselamatan makanan akan lebih terjamin. Namun sijil ini tidak akan bermakna jika tidak disertai dengan disiplin yang kuat.

Perlu diingat, tidak bermakna sesudah mendapat sijil, sesebuah premis dan peniaga itu boleh berbuat sesuka hati terhadap produk dan khidmat mereka. Agensi terbabit akan membuat pemeriksaan berkala dari masa ke masa. Justeru penting untuk memastikan urusan keselamatan makanan ini menjadi budaya syarikat, bukan sekadar syarat untuk mendapatkan sijil.