BINTULU: Tiga nelayan tempatan yang dilaporkan hilang apabila tidak balik ke rumah selepas pergi memancing awal pagi Selasa, ditemui selamat kira-kira jam 3.30 petang semalam di kawasan perairan Bintulu.

Pengarah Zon, Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Shahref Steve Mac Queen  Abdullah berkata mangsa, Shamsuddin Dahlan ,52 dan  Mohd Syazwan Shamsuddin, 17, dari Kampung Jabai serta  Mohd Husaini  Azman,18, dari  Kampung Sinong,  di sini ditemui selamat oleh rakan nelayan mereka di 20 batu nautika dari Tanjung Kidurong.

Menurutnya, mangsa memaklumkan bahawa bot mereka mengalami kerosakan, menyebabkan ia terus hanyut sebelum ditemui oleh nelayan berkenaan.

Kesemua mangsa selamat tiba di jeti Pasukan Polis Marin Kemena di Kampung Jepak, jam 4.35 petang tadi,ujarnya lagi.

Dengan penemuan tersebut, katanya, gerakan mencari dan menyelamat (SAR) ketiga-tiga nelayan terbabit dihentikan pada jam 4.40 petang tadi.

Sejurus tiba mangsa, kemudiannya diberikan rawatan awal oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon MARITIM Bintulu

Shahref, dalam pada itu, berterima kasih kepada semua agensi dan komuniti Maritim yang terlibat dalam gerakan SAR itu.

Pada sebelah pagi tadi, gerakan SAR ketiga-tiga nelayan terbabit diaktifkan selepas pihak APMM Zon Bintulu dimaklumkan kehilangan mereka oleh  pihak polis Marin Bintulu setelah laporan dibuat keluarga mangsa.