BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) hari ini melancarkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) tiga nelayan yang hilang di perairan Bintulu sejak semalam.

Pengaran Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, Shamsuddin Dahlan, 52, Mohd Husaini Azman, 18, dan Mohd Syazwan Shamsuddin, 17, telah keluar ke laut dengan menggunakan sebuah bot pada pukul 3.00 pagi semalam untuk memancing ikan dan tidak pulang sehingga kini.

“Mangsa dipercayai hilang di sekitar perairan Beting Nyabau dan Beting Kidurong Bintulu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, operasi SAR melibatkan kawasan seluas 10 batu nautika persegi iaitu kira-kira 20 kilometer persegi dari perairan Beting Nyabau dan Beting Kidurong Bintulu.

“Operasi SAR akan diteruskan sehingga kesemua mangsa ditemui,” katanya sambil menambah orang awam yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian 24 jam Pusat Operasi Maritim Zon Bintulu 086-314254. – Bernama