LOS ANGELES: Sebuah pesawat Boeing 777 dalam perjalanan ke Manila mengalami kerosakan di udara dan terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Los Angeles.

Kerosakan itu berlaku selang beberapa minit pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang LA. Kesemua 347penumpang yang terdiri daripada 18 krew pesawat dilaporkan selamat. Kesemua penumpang kemudiannya dipindahkan ke pesawat lain untuk penerbangan seterusnya.

Seorang saksi yang berada di kawasan berdekatan Lapangan Terbang LA memberitahu dia melihat bebola api keluar dari pesawat itu dari bahagian enjinnya.

Dalam pada itu stesen televisyen ABC-7 di Los Angeles turut menyiarkan video menunjukkan pesawat itu mengeluarkan asap di enjin bahagian kanannya.

Pesawat itu mendarat dengan selamat dan sebaik sahaja mendarat Jabatan Bomba Los Angeles sudah menunggu di landasan.

Biarpun punca kerosakan itu belum dikenal pasti, namun pesawat Boeing sememangnya dalam pemerhatian selepas insiden dua pesawat 737 MAX mereka terhempas menyebabkan Boeing 737 MAX dihentikan perkhidmatan mereka di seluruh dunia.