KUCHING: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) yang berperanan penting sebagai agen pembangunan komuniti setempat terus diperkasa dari pelbagai sudut.

Ahli Parlimen Batang Lupar Dato Sri Rohani Abdul Karim memberitahu, sebab itu barisan KMKK yang diberi tanggungjawab haruslah berilmu dan berpengetahuan.

“Justeru melalui program Train of Trainer (ToT) yang dilaksanakan ini akan melatih KMKK supaya mereka ‘hebat’ dalam pembangunan kampung atau rumah panjang selain mempunyai kemahiran betul dalam kepimpinan,” katanya merasmikan program ToT Peringkat Parlimen Batang Lupar di sini, baru-baru ini.

Jelasnya, seramai 80 KMKK dari Dun Sebuyau, Lingga, Beting Maro serta wakil PBB Cawangan Padungan turut diberikan tunjuk ajar tentang tata cara pengendalian mesyuarat, penyediaan minit dan penulisan kerta kerja untuk pembangunan kampung.

“Ini penting agar penyaluran maklumat semasa yang berlaku di peringkat Persekutuan dan Kerajaan Sarawak dapat disampaikan kepada masyarakat kampung dengan tepat tanpa sebarang kekeliruan.

“Justeru, KMKK atau ‘The Trainer’ yang kita perkasakan ini boleh menjadi pelatih, seterusnya berupaya mengadakan kursus di peringkat kampung agar perkongsian ilmu seperti ToT ini dapat dimanfaatkan,” ujarnya.

Sepanjang seminggu pelaksanaan ToT, antara isu yang diberikan fokus ialah berhubung isu tanah hak adat bumiputera (NCR) dan peranan KMKK secara menyeluruh termasuk hal berkaitan profil kampung. Hadir sama Pegawai Daerah Sri Aman merangkap Pengerusi Program ToT Peringkat Mohamad Asri Wee.