BERMULA syarikat penerbangan kerdil. AirAsia menjadi sebuah syarikat penerbangan tambang murah yang berprestij.

AirAsia merupakan syarikat penerbangan tambang murah pertama di Asia. Kumpulan AirAsia kini sudah menawan dunia, terbang ke lebih 400 destinasi merentasi 25 negara.

Malah ia sudah berkembang melalui gabungan peringkat global iaitu Thai AirAsia, AirAsia Philippines dan AirAsia Japan yang mempunyai hab masing-masing di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Lapangan Terbang Antarabangsa Clark dan Lapangan Terbang Antarabangsa Narita.

AirAsia telah dinamakan sebagai pengangkut kos rendah terbaik dunia selama 10 tahun berturut-turut dalam anugerah pelancongan dan penerbangan antarabangsa, termasuk anugerah terbaru untuk 2018.

Dari segi sejarah penubuhan AirAsia lahir pada 1993 dan mula beroperasi pada 18 November 1996. Ia pada asalnya diasaskan oleh sebuah konglomerat Kerajaan Malaysia, DRB-HICOM. Pada 2 Disember 2001 syarikat penerbangan yang banyak berhutang telah dibeli oleh syarikat Tony Fernandes Tune Air Sdn Bhd, bekas eksekutif Time Warner untuk jumlah harga satu Ringgit Malaysia dengan hutang berjumlah USD 11 juta (RM40 juta).

Fernandes tidak menoleh ke belakang, sehingga syarikat pimpinannya mengutip keuntungan pada 2002 sehingga ke hari ini.

Ketika itu, AirAsia melancarkan laluan baharu dari habnya di Kuala Lumpur, sekali gus menjejaskan bekas pengendali monopoli Penerbangan Malaysia dengan tambang promosi serendah RM1 (USD 0.27).

Kini, kumpulan AirAsia Berhad mensasar untuk mengembangkan jumlah penerbangan mereka di Kuching, Sibu dan Miri yang dilihat memiliki potensi.

Untuk rekod AirAsia telah melaksanakan perkhidmatan melalui penerbangan domestik di Bumi Kenyalang dengan menerbangkan 16 juta penumpang sejak ia memulakan operasi 18 tahun yang lalu.

Jumlah penerbangan AirAsia telah meningkat sebanyak 43 peratus tahun ini, dengan 70,000 penumpang ke Sarawak dari pelbagai negara melalui Kuala Lumpur.

Selain itu, AirAsia dilihat terus memperjuangkan pembinaan terminal penerbangan tambang murah (LCCT) dan Sarawak menjadi sasaran untuk pada masa akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes berkata, keinginan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari untuk memiliki lapangan terbang yang baik dan lebih ramai pelancong yang datang ke Sarawak.

Tony berkata, isu lapangan terbang adalah di bawah Kerajaan Persekutuan dan berharap Kementerian Pengangkutan akan membuat sesuatu mengenai perkara tersebut.

Jika ia menjadi kenyataan, Sarawak bakal mempunyai lapangan terbang kos rendah.

AirAsia telah mempelajari tentang perancangan Ketua Menteri untuk memperkembangkan pelaburan dalam infrastruktur dan pelancongan. Tidak hairan AirAsia mahu melabur semula dan menjadi rakan kongsi bersama Kerajaan Sarawak dalam senario menang-menang.

“Kami mempelajari banyak perkara mengenai Miri, Kuching dari segi taman negara, pelancongan kesihatan dan banyak lagi. “Kami mempunyai laluan penerbangan antarabangsa iaitu Pontianak di mana terdapat ramai pelancong yang datang untuk mendapatkan khidmat kesihatan.

“Oleh sebab itu, kami mahu memperkembangkan jumlah penerbangan ke Indonesia,” kata Tony Fernandes.

Tony memberitahu, pengguna memerlukan terminal kos rendah, kemudahan yang berpatutan untuk membangunkan pelancongan yang bukan sahaja berlaku di Sarawak malah berlaku di mana-mana tempat.

Beliau juga berkata, jika memiliki terminal kos rendah dan pelancongan akan meningkat dan sekiranya perkara tersebut tidak diperjuangkan, penumpang yang terbang dari Kuching ke China akan membayar RM75 cukai yang dikenakan sama dengan harga penerbangan.

Pembinaan terminal penerbangan tambang murah (LCCT) tepat pada masanya kerana industri pelancongan kesihatan di Sarawak semakin berkembamg.

Sesungguhnya jalinan kerjasama antara AirAsia dan Kerajaan Sarawak langkah yang bijak terutama untuk pembangunan pelancongan jangka masa panjang.