MELAKA: Jaguh wushu negara, Tan Cheong Min yang meraih pingat emas dalam kategori Nandao wanita pada Kejohanan Wushu Dunia edisi ke-15 di Shanghai, China mengimpikan pingat pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China.

Atlet kelahiran Melaka berusia 21 tahun itu berkata, sasaran itu sekaligus memperbaiki pencapaiannya sebelum ini yang hanya meraih tempat keempat dalam dua kategori iaitu Nanquan dan Nandao ketika beraksi pada Sukan Asia 2018 di Jakarta, Indonesia.

Olahragawati Melaka 2019 itu berkata Sukan Asia adalah satu medan ‘pertempuran’ yang sengit bagi atlet wushu berbanding kejohanan peringkat lain kerana pingat yang akan diraih berdasarkan mata yang dikumpul bagi dua acara atau kategori yang disertai.

“Saya impikan pingat untuk Sukan Asia 2022… tidak kira pingat emas, perak atau gangsa. Jadi saya akan memberi fokus yang lebih serius dari segi latihan sebagai persediaan menghadapi kejohanan itu selain perlu membahagi masa untuk pelajaran.

“Saya boleh beraksi dalam tiga kategori iaitu Nandao menggunakan pisau, Nanquan (tangan) dan Nangun (kayu panjang). Kejohanan terdekat yang akan saya sertai ialah Kejohanan Wushu Universiti Dunia di China pada Julai tahun hadapan dan ia penglibatan pertama saya dalam pertandingan itu,” katanya yang sedang melanjutkan pengajian Sarjana Muda dalam bidang Teknologi Maklumat di Asia Pacific University of Technology and Innovation, Kuala Lumpur.

Beliau ditemui pada sesi temuramah bersama Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee di sini semalam.

Anak pasangan Tan Poh Chuan, 46, dan Goh Swee Lian, 45, itu berkata beliau tertarik dengan aksi yang dipamerkan ahli persatuan wushu yang membuat persembahan ketika di sekolah dan menyifatkan sukan itu sebagai suatu yang sukar dilakukan pada mulanya.

“Namun sehingga kini, saya berbangga dengan pencapaian yang ada dan tidak akan berhenti melakukan yang terbaik bagi kejohanan yang akan datang untuk terus mengharumkan nama negeri Melaka dan Malaysia,” katanya yang menyertai skuad wushu negara ketika berusia 15 tahun pada 2013.

Pada Kejohanan Wushu Dunia edisi ke-15 di Shanghai, China yang berlangsung 20 hingga 23 Okt lepas, Tan muncul juara selepas mengumpul 9.610 mata mengatasi atlet Iran, Hanieh Rajabi (9.490 mata) dan Darya Latisheva dari Uzbekistan (9.483 mata).

Sementara itu, Kerk berkata sukan wushu antara acara penyumbang pingat kepada Melaka pada Sukma dan mempunyai potensi yang baik dari segi kutipan pingat dan pencapaian atlet.

“Kita melihat potensi yang tinggi dalam sukan wushu ini pada masa akan datang kerana ia kini dibangunkan bermula di peringkat akar umbi iaitu di sekolah secara lebih menyeluruh.

“Kita mempunyai sekurang-kurangnya 1,000 atlet wushu yang aktif menyertai pertandingan atau yang aktif berlatih,” katanya. – Bernama