MENURUT Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye, penyakit jantung koronari kekal pembunuh nombor satu negara.

Malah ia meragut kira-kira 50 nyawa rakyat Malaysia setiap hari! Serangan jantung atau penyakit kardiovaskular boleh dialami oleh sesiapa sahaja terutama individu yang tidak mengambil berat akan kesihatan termasuk menjalani pemeriksaan.

Yang pasti gaya hidup turut mempengaruhi dan ‘menjemput’ kehadiran penyakit ini seperti tidak mengawal pemakanan, kurang melakukan aktiviti senaman, stres dan merokok.

Selain itu, faktor keturunan turut menyumbang masalah berkenaan. Jumlah pesakit dilaporkan semakin meningkat di negara negara membangun berdasarkan perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Secara realitinya, penyakit ini berpunca daripada kesibukan setiap individu membina kerjaya, dan mencari wang untuk menambah pendapatan.

Tanpa sedar mereka memerlukan kerja lebih masa sekali gus mengurangkan masa yang sepatutnya untuk berehat.

Kerja lebih masa Kerja lebih masa boleh menyebabkan tekanan berterusan kepada fizikal dan mental.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan jadual tugas seharian yang padat selain suasana yang tidak kondusif di tempat kerja.

Meskipun pelbagai penerangan telah dilakukan oleh pihak berwajib untuk menyedarkan orang ramai akan bahaya penyakit ini, ramai yang masih memandang enteng.

Pada masa yang sama, penyakit tiga serangkai, iaitu darah tinggi, kencing manis dan kolesterol tinggi juga dikenal pasti sebagai pendorong kepada masalah jantung tanpa disedari.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan, jumlah kematian akibat penyakit jantung koronari pada tahun 2018 adalah seramai 18,267 orang.

Lebih membimbangkan apabila jumlah kematian akibat penya kit itu menunjukkan peningkatan setiap tahun dan ia ini menjadi punca utama kepada meningkatnya kematian mengejut atau SDR.

Semua dari kita perlu sedar akan hakikat ini. Sedar sahaja tidak memadai sebenarnya, kerana ia memerlukan tindakan yang sewajarnya — ubah gaya hidup. Amalkan gaya hidup sihat termasuk bersenam secara konsisten.

Ia merupakan amalan penting untuk mengelakkan penyakit ini menyerang.

Pada masa yang sama, aspek penjagaan makanan juga tidak boleh diabaikan. Ia perlu dirancang dan dipastikan kurang me ngandungi bahan-bahan yang boleh memudaratkan.

Pernah dinamakan sebagai ‘penyakit orang kaya’, serangan jantung kini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Ia tidak mengira siapa dan juga tidak mengira waktu.

Selain semua yang di atas, setiap individu juga perlu melakukan pemeriksaan kesihatan yang rutin. Hanya dengan ini kita dapat mengelakkan serangan ini daripada berlaku, atau sekurangkurangnya dapat mengambil langkah awal yang patut.

Selain itu, perlu juga dipelajari tindakan awal yang perlu diambil jika seseorang yang rapat dengan kita, bahkan orang lain diserang penyakit ini.