MUKAH: Orang ramai sekitar Mukah dijemput hadir bagi memeriahkan lagi Program ‘Bah Idei Telow’ anjuran Biro Impian bersama Pertubuhan Belia Parlimen Mukah yang bakal diadakan di Tapak Pesta Kaul Mukah pada 30 November (Sabtu) ini.

Majlis selama sehari itu akan dihadiri dan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib.

Ketua Program, Lyona Stephen menjelaskan objektif utama program tersebut ialah untuk memberikan pendedahan kepada semua masyarakat tentang keunikan yang ada dalam masyarakat Melanau menerusi sukan rakyat yang ditonjolkan di dalam program ini.

“Dalam program selama sehari ini kita akan mengadakan aktiviti sukan rakyat yang meliputi sukan tarik orang atas pelepah, kaki tiga, memarut kelapa menggunakan parut ‘unggun balau’, dan memarut ‘betok balau’ menggunakan parut kelapa.

“Ini juga termasuklah pertandingan ulou buleing tercantik serta pertandingan membuat layang-layang tercantik,” katanya kepada Suara Sarawak.

________

Dalam program ini juga kita akan mengadakan aktiviti gotong-royong pada sebelah petang di kawasan Tapak Kaul Mukah selain kita juga mahu mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara masyarakat setempat.

“Menerusi bahan-bahan yang telah dikutip oleh setiap peserta melalui gotong -royong ini, mereka akan diminta untuk membuat sebuah kerusi berdasarkan daya kreativiti mereka.

“Ini bertujuan bagi memberikan mereka betapa pentingnya nilai kitar semula bahan buangan, dalam pada masa yang sama dapat memupuk semangat cintakan alam sekitar,” ujarnya.

Katanya acara kemuncak ialah tayangan ‘tukih’ yang akan diadakan khas untuk semua orang awam yang hadir.

“Tukih ini dapat mengamit kembali memori suatu ketika dahulu bagaimana masyarakat menonton filem bersama-sama di bawah satu bumbung sambil kain putih berfungsi sebagai layar untuk memaparkan filem yang ditayangkan.

“Seterusnya kita juga akan mengadakkan acara menerbangkan ‘Sky Lantern’ sebagai simbolik meriakan penutupan program, dan pelbagai hadiah menarik jug diberikan kepada peserta yang menjuarai ertandingan dan sukan rakyat yang diadakan,” katanya.