JUMLAH pengundi berdaftar di Malaysia menjelang 2023 ialah 22.7 juta, bertambah sekitar hampir 8 juta berbanding PRU-14 lepas, tahun 2018 merekodkan 14.9 juta pengundi berdaftar.

Pertambahan ini ekoran kuat kuasa pendaftaran pemilih automatik bagi rakyat yang berusia 18 tahun dalam tempoh 18-24 bulan dari tarikh kelulusan pindaan dibenarkan Dewan Negara pada 25 Julai lepas.

Menurut pemakluman SPR, tarikh pelaksanaan pendaftaran automatik ini dijangka berlaku selewat-lewatnya Julai 2021.

Adakah tarikh pelaksanaan pendaftaran automatik ini akan memberi kesan kepada daftar pengundi yang bakal digunakan bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN-12) yang akan datang?

Di Sarawak, jumlah pengundi berdaftar terkini ialah 1.2 juta, dan dengan berkuatkuasanya pendaftaran automatik ini, daftar layak mengundi meningkat 800,000 pengundi menjadikan jumlah pengundi 2 juta.

Tampaknya, daftar pemilih baharu dengan pertambahan jumlah besar pengundi baharu tidak memberi kesan kepada PRN Sarawak kerana kemungkinan PRN sudah selesai ketika sistem daftar automatik itu dikuatkuasakan.

Apa-apa pun, dalam hal ini, sama ada pertambahan pengundi memberi kesan atau tidak kepada PRN Sarawak, soalan yang perlu ditanya berkaitan jumlah daftar pemilih sedia ada, apakah peratusan yang mempunyai kesedaran untuk turun mengundi masih berlegar sekitar 70 peratus.

Selebihnya hanya nama tersenarai dalam daftar pemilih dan mereka yang sedia menjadi golongan berkecuali atau pemerhati, tanpa berminat menjadi penentu pemenang sesuatu pilihan raya.

Ini bermakna, wujud atau tidak daftar pemilih automatik, pihak berwewenang mempunyai tanggungjawab besar mengajak pengundi memahami “tugas” dan “tanggungjawab” mereka memangkah kertas undi.

Kajian mendapati ketika rakyat Malaysia dibenarkan mendaftar pada usia 21 tahun, lebih 3 juta warganegara tidak mendaftar untuk mengikuti proses pilihan raya.

Ramalan mengandaikan meskipun nama warganegara berusia 18 tahun dimasukkan ke dalam daftar pemilih secara automatik, dijangka lebih 5.5 juta tidak akur untuk mengikuti proses pemilihan.

Selepas 1970-an, banyak negara maju mengambil langkah menurunkan had umur kepada 18 tahun misalnya United Kingdom bermula 1970, Eropah Barat 1970, Amerika Syarikat 1971, Kanada, Jerman 1972, Australia, Perancis 1974.

Kemudian diikuti India, Pakistan, New Zealand dan semua negara di Amerika Latin, Afrika dan Asia pada 1980-an serta Jepun 2016.

Indonesia dan Timor Leste dalam kalangan Asean pula menurunkan usia boleh mengundi kepada 17 tahun.

Semua negara Komanwel (yang melaksanakan demokrasi Westminster), sudah menetapkan 18 tahun sebagai umur kelayakan mengundi kecuali Malaysia, Singapura, Kuwait, Lubnan, Oman, Cameroon, Samoa dan Tongga masih mengekalkan had umur 21 tahun.

Menjadi tugas banyak pihak mendidik pengundi khususnya pengundi daftar automatik ini untuk menunaikan kewajipan mereka.