SARIKEI: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) meluluskan sebanyak RM9.5 juta untuk menaiktaraf masjid al-Mutaqqin bagi manfaat seluruh masyarakat Islam di daerah ini.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk menaiktaraf keseluruhan masjid termasuk prasarana yang berkaitan.

Menurutnya, sumbangan itu diluluskan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg selepas meninjau sendiri keadaan masjid itu dalam siri lawatan kerja beliau ke Sarikei baru-baru ini.

“Kita sudah menerima surat kelulusan peruntukan itu secara rasmi dan perlaksanaannya akan diuruskan oleh Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sarikei ( Lakisri).

“Kita sudah melantik juruperunding manakala kerja pelaksanaannya bermula tahun depan dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 18 bulan,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan majlis perasmian khatan perdana beramai-ramai di sini, pagi tadi.

Program yang dianjurkan bersama Pemuda PBB N.41 Kuala Rajang dan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Kuala Rajang disertai kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun.

Ia merupakan sebahagian daripada aktiviti  khidmat masyarakat bagi meringankan beban ibu bapa terutama mereka yang kurang berkemampuan.

Len Talif memberi kata semangat kepada kanak-kanak yang menyertai khatan beramai -ramai di Masjid Al Mutaqqin Sarikei.