KABONG: Pasukan Cili Padi membuktikan keunggulan apabila muncul sebagai juara Pertandingan Tarik Tali Program Literasi Fungsian Kemas Peringkat Negeri Sarawak di sini hari ini.

Cili Padi dalam aksi final berjaya menundukkan pasukan Brotherhood Kabong melalui aksi penentuan dalam tarikan ketiga selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam pertarungan tarikan pertama dan kedua.

Sebanyak tujuh pasukan iaitu Cili Padi Kabong, Wira Masjid Assabirin Kabong,
Gerigat Warriors, Dom Legacy Kampung Simpang 4, Ujang Gerigat , Brotherhood Kabong dan Landas Alit berentap memburu kejuaraan dalam acara tersebut yang bermula petang semalam.

Kejayaan bergelar juara membolehkan Cili Padi membawa membawa pulang wang tunai RM500 beserta piala.

Pasukan Brotherhood yang muncul naib juara membawa pulang RM400 juga beserta piala.

Tempat ketiga pula menjadi milik pasukan Dom Legacy Simpang 4 dan tempat keempat jatuh kepada Landas Alit. Mereka masing-masing membawa pulang wang tunai RM300 dan RM200.

Pertandingan atas anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju yang turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan.