BETONG: Seorang pemuda maut selepas digilis dan diseret sebuah lori dengan beban 12 tan dalam satu kemalangan ngeri di KM 73 Jalan Betong-Sarikei berhampiran kawasan Mendas, lewat petang semalam.

Menurut Pegawai Operasi BBP Betong PBK I Henry Jugah, pihaknya berhadapan kesukaran mengeluarkan mangsa Sujang Bilun, 29, yang tersepit ekoran lori yang terlalu berat.

Katanya, bomba mengambil masa lebih kurang sejam 40 minit untuk mengeluarkan mangsa yang terperosok antara tayar belakang lori.

“Bomba dimaklumkan tentang kejadian tersebut sekitar 6:20 petang dan setibanya di lokasi, kita berhadapan cabaran sukar.

“Keadaan lori yang penuh muatan sawit melambatkan kerja mengeluarkan mangsa,” katanya ketika ditanya lanjut, semalam.

Menurutnya, mangsa yang beralamat di Rh. Ganya Nanga Lempa, Kabo mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, badan dan kaki kiri merupakan pekerja pembinaan lebuh raya Pan Borneo sedang bergerak hendak pulang ke rumah.

TRAGIS… Keadaan mangsa selepas terperosok ke bawah lori yang penuh dengan sawit di kawasan Mendas dekat KM 73 Jalan Betong-Sarikei, lewat petang semalam.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Saratok Deputi Superintendan Mordani Tanin yang dihubungi mengesahkan perkara tersebut memaklumkan, mangsa tidak memiliki lesen.

“Sujang disahkan meninggal dunia oleh Pembantu Perubatan yang hadir ke lokasi dan mayatnya kini dibawa ke Unit Forensik Hospital Saratok.

“Proses bedah siasat akan dilakukan pada 2 Disember kira-kira 10 pagi,” ujarnya.

Siasatan awal polis mendapati, kemalangan berlaku apabila motorsikal jenis Sym yang dinaiki mangsa secara tiba-tiba hilang kawalan, lalu menggelongsor dan akhirnya terperosok ke bawah lori yang sedang bergerak dari dari Ulu Paku hendak ke kilang sawit TBS di Selalang.

Pemandu lori yang menyedari perkara tersebut terus menghentikan kenderaannya secara mengejut menyebabkan mangsa tersepit dan terseret.

Pemandu berusia 25 tahun itu percaya Sujang datang dari arah belakang dan cuba hendak memotong lorinya sebelum hilang kawalan.

MALANG TIDAK BERBAU… Kesan yang menunjukkan mangsa diseret dalam kemalangan ngeri berhampiran Mendas dekat KM 73 Jalan Betong-Sarikei, lewat petang semalam.