BALINGIAN: “Pesta Padaq Balingian akan menjadi acara tahunan buat Daerah Kecil Balingian dan akan dimasukkan di dalam kalender pejabat Residen,” jelas Adun Balingian Abdul Yakub Arbi.

Katanya lagi bagi merancakkan pesta-pesta serta keramaian yang diadakan di daerah tersebut pihaknya telah merancang untuk memanjangkan lagi Projek Tebingan Sungai melalui beberapa fasa sehingga ke kawasan Toa Pekong Balingian.

“Kita juga akan menambahkan lagi jumlah tempat parkir di kawasan pekan Balingian termasuklah merancang untuk mengubah tandas awam yang sedia ada kini menjadi lebih menarik dan selesa digunakan.

“Semua ini adalah usaha dan kelulusan Kerajaan Sarawak di bawah kerajaan GPS, dan melalui itu kawasan Balingian ini akan nanti akan menjadi tarikan utama pengunjung dari luar kawasan untuk datang ke Balingian untuk bersantai,” katanya dalam majlis perasmian Pesta Padaq di Pekan Balingian semalam.

Jelasnya lagi Batang Balingian cukup sinonim sebagai sebuah lokasi buat kaki pancing terutamanya pada musim udang dan udang yang diperoleh dari kawasan Balingian juga mempunyai rasa yang enak dan tersendiri.

“Oleh itu, acara ini tepat diadakan apabila Jawatankuasa Kampung (JKP) Zon Balingian di bawah seliaan Majlis Daerah Dalat dan Mukah berusaha menganjurkan Pesta Padaq yang julung kali diadakan pada tahun ini.

“Saya turut menyeru kepada semua penduduk Balingian agar terus dapat memberikan kerajasama untuk mengekalkan keindahan kawasan Balingian dari sampah sarap dan kemudahan yang ada tidak rosak akibat vadalisme,” tegasnya.

Selain itu, katanya melalui aktiviti keramaian tersebut ia berupaya memberi impak ekonomi kepada penduduk setempat, khasnya melalui perniagaan dan penjualan pelbagai barangan seperti kraftangan, kuih muih, hasil tani, hasil tangkapan sungai, restoren dan sebagainya.

“Perkara yang paling penting ialah melalui program ini kita dapat memberi peluang kepada setiap Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Balingian terlibat sama dalam menganjurkan lebih lapan acara yang dipertandingakan, dan ini adalah satu pendekatan oleh kita agar masyarakat dapat bergaul tidak kira perbezaan latar belakang dan perpaduan dapat dikukuhkan.

“Itulah sebabnya kerajaan Sarawak tidak ingin masyarakat diperkotak-katikkan dengan penubuhan alternatif seperti MPKKP, sedangakn JKKK yang sedia ada tampak lebih berkesan membantu menjadi peranta rakyat dan kerajaan,” tegasnya.

Dalam perkembangan sama katanya menerusi permohonan untuk membina Tugu Udang di Balingian tersebut , pihaknya akan berusaha pada Bajet tahun hadapan untuk mendapatkannya dan MDDM akan berfungsi sebagai badan pelaksana.

Sepanjang program dijalankan turut diadakan Pertandingan Suara Burung anjuran Pekicau Balingian dengan penyertaan lebih 50 sangkar dari sekitar Sarawak.

Turut hadir Setiausaha Politik Ketua Menteri Faridah Osman, Residen Bahagian Mukah Hamdiah Bakir, dan Pengerusi JKP Zon Balingian Kauselor Semaon Yusuf.