KUCHING: D’X Band dari Batalion ke-10 pasukan Rejimen Renjer Diraja, Kem Muara Tuang dinobatkan sebagai juara pertandingan Battle Of The Bands peringkat Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMTTD) Tahun 2019.
Kemenangan tersebut membolehkan kumpulan berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 dan piala pusingan, yang disampaikan oleh Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Wira Zamrose Mohd Zain sempena pertandingan akhir yang berlangsung di Dataran Kem Muara Tuang semalam.
Naib juara dan tempat ketiga pula disandang kumpulan D’Bampfylde dari Kem 1 Divisyen dan D’Asolute Green dari pasukan Rejimen ke-4 Kor Armor Diraja, Kem Penrissen yang masing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,000 dan RM500.
Sebanyak enam pasukan berentap dalam peringkat akhir pertandingan yang julung kali diadakan itu iaitu D’X Band (10 RRD), D’Bamfylde (1 DIV), D’Absolute Green (4 KAD), The Red Hackle (3RRD), The Croc Huntez (13 RAMD) dan Viking Stripe (22 RAMD).
Sebanyak 15 buah kumpulan mewakili pasukan dari Sabah dan Sarawak di bawah naungan PMTTD mengambil bahagian dengan mempersembahkan tiga kategori lagu iaitu lagu ciptaan patriotik, lagu instrumental dan lagu parodi.
Pertandingan yang berlangsung pada 2 dan 3 November ini bertujuan mencungkil bakat baru sebagai persiapan bagi mewakili PMTTD dalam pertandingan di peringkat yang lebih tinggi selain meningkatkan mutu dan kualiti serta mencungkil bakat baru dalam penciptaan lagu patriotik ketenteraan.

