Jambatan Batang Rambungan mudahkan pergerakan penduduk

KUCHING:  Jambatan Batang Rambungan sepanjang 560 meter merupakan antara jambatan yang amat perlu untuk dibina di kawasan pesisir Sarawak.

Malah, menurut Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi, ia merupakan antara jambatan penting yang menghubungkan rakyat dari selatan hingga utara negeri ini.

Jambatan yang menghubungkan kawasan di sebelah seberang Batang Rambungan dengan bandar raya Kuching ini berharga RM99 juta dan dijangka siap dalam tempoh 36 bulan.

Ketika ini perhidmatan feri disediakan untuk kegunaan penduduk.

Mengenai faedah jambatan itu, Julaihi berkata: “Jarak masa dan jarak sebenar perjalanan dari Kuching ke Sematan dan seterusnya ke Telok Melano menjadi lebih singkat.”

“Dengan siapnya jambatan ini nanti, ia akan memberi keselesaan kepada penduduk sama ada penduduk tempatan yang beurlang-alik di antara Sematan-Lundu, Rambungan ke Kuching atau tempat-tempat lain,” jelasnya.

“Malah, jelasnya lagi, ia pasti melegakan mereka yang ingin berkunjung ke pekan Sematan dan Telok Melano yang terkenal kerana panaroma yang begitu cantik dan sesuai untuk pelancongan,” katanya.

Julaihi berkata, reka bentuk Jambatan Batang Rambungan unik kerana membolehkan perahu atau kapal kecil lalu di bawah jambatan kerana arasnya dari permukaan sungai ialah 120 meter.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak