Lelaki maut, kereta bertembung lori di Jalan Mukah-Balingian

MUKAH: Seorang lelaki disahkan maut di tempat kejadian apabila kereta Perodua Bezza merah dipandunya bertembung dengan sebuah lori yang tidak berhenti dipersimpangan empat Mateding Kilometer 27 Jalan Mukah Balingian, pada pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau, mangsa Azeni Shari ,47 tahun yang berasal dari Kampung Kuala Balingian dan bekerja di Jabatan Perhutanan Mukah, sedang memandu lurus dari arah Balingian menuju ke kawasan Mukah.

“Manakala pemandu lori, Bosly Labang 44 tahun dipercayai memandu dari arah kawasan Mukah menuju ke arah Selangau, setibanya di persimpangan empat Mateding itu, pemandu lori tersebut tidak memberhentikan kenderaan namun meneruskan perjalanan dengan membelok ke arah kanan.

“Akibat daripada itu berlaku pertembungan menyebabkan kereta yang dipandu mangsa merempuh hadapan lori berkenaan, menyebabkan kenderaan mangsa kemek di bahagian hadapan dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak paramedik Hospital Mukah,” katanya.

Jelasnya lagi, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Mukah untuk dibedah siasat, manakala pemandu lori tersebut ditahan untuk siasatan lanjut.

Walaubagaimanapun, pemandu lori tersebut tidak mengalami apa-apa kecederaan dan lori yang dipandu mengalami kerosakan di bahagian hadapan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.

MAUT… akibat dari pertembungan kenderaan mangsa kemek di bahagian hadapan dan mangsa disahkan meninggal dunia ditempat kejadian.

Lori yang dipandu mengalami kerosakan dibahagian hadapan

Suara Sarawak