PAVB sokong penuh Sarawak saman Petronas

BINTULU: Persatuan Anaq Va’ie Bintulu (PAVB) menyatakan pendirian tegas menyokong penuh tindakan Kerajaan Sarawak menfailkan saman terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) selepas syarikat berkenaan gagal membayar cukai jualan lima peratus terhadap produk petroleum yang dikuatkuasakan di negeri ini.

Presidennya, Pandi Suhaili berkata keingkaran syarikat multinasional itu membayar cukai jualan seperti yang telah ditetapkan, memberi gambaran jelas (Petronas) dengan sengaja melanggar undang-undang Kerajaan Sarawak.

Ia juga memperlihatkan pihak berkenaan tidak sensitif dan menghormati keputusan dan perundangan rakyat negeri ini.

Cukai jualan negeri bagi produk petroleum jelas termaktub di bawah Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998, katanya dalam sidang akhbar di salah sebuah hotel terkenal, di sini.

Naib Presiden PAVB Yusuff Haji Ali, Setiausaha Agung PAVB Mohd Sabir Zaidi, Ketua Penerangan PAVB Ismawi Ishak serta semua ahli Majlis Kerja Tertinggi PAVB hadir sama.

Semalam, Kerajaan Sarawak memfailkan saman terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) selepas syarikat berkenaan gagal membayar cukai jualan lima peratus terhadap produk petroleum yang dikuatkuasakan di negeri ini.

Writ saman dan pernyataan tuntutan itu difailkan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, petang Khamis.

Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata tindakan undang-undang itu diambil untuk menuntut cukai jualan negeri yang belum dibayar oleh syarikat minyak dan gas negara kepada negeri ini.

Bermula Januari tahun ini, Kerajaan Sarawak mengenakan lima peratus cukai jualan negeri ke atas produk petroleum dan Petronas dikatakan satu-satunya syarikat minyak dan gas yang beroperasi di negeri ini yang belum membayar cukai jualan tersebut.

 

Suara Sarawak