Pemandu e-hailing di Sarawak diingat tidak tunggu penumpang di lapangan terbang

SIBU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak hari ini mengulangi peringatan kepada pemandu e-hailing supaya tidak menunggu penumpang di mana-mana lapangan terbang di negeri itu.

Pengarahnya Mohd Syafiq Anas Abdullah berkata, sehingga kini pihak Lembaga Pelesenan Kenderaan (LPKP) ataupun Malaysia Airports Berhad (MAB) masih belum membuat keputusan bagi membenarkan mereka berbuat demikian.

“Tiada larangan untuk mereka beroperasi (di lapangan terbang) namun mereka tidak boleh menunggu di mana-mana lapangan terbang di negeri ini sebagaimana yang dilakukan pemandu teksi. Maksudnya mereka tidak boleh menunggu penumpang antara lima hingga 10 minit,” katanya pada sidang akhbar selepas operasi khas e-hailing di Lapangan Terbang Sibu di sini hari ini.

Mohd Syafiq berkata, walaupun mereka yang melakukan kesalahan itu akan dikenakan kompoun, namun pada masa ini, pihaknya masih menjalankan penguatkuasaan berhemah, dengan memberikan amaran dan menasihati pemandu terbabit, sehingga mendapat arahan selanjutnya.

Katanya pada masa ini penguatkuasaan itu hanya untuk lapangan terbang sahaja dan akan diperluaskan ke kawasan lain seperti terminal bot dan bas, pada masa akan datang secara berperingkat.

Menurut Mohd Shafiq, sejak 17 Julai lepas, hasil pemeriksaan JPJ mendapati 195 pemandu e-hailing telah melakukan kesalahan termasuklah 95 tiada eVP, 37 tidak memiliki lesen PSV dan 80 kenderaan tidak mempamerkan ‘disk’ Puspakom. – Bernama

Suara Sarawak